61 bot asing ditahan dalam Op Kuda Laut

Tekong dan awak-awak dipercayai warga Vietnam yang berjaya ditahan semalam.
Tekong dan awak-awak dipercayai warga Vietnam yang berjaya ditahan semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu telah menahan 61 bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara sejak Ops Kuda Laut dilancarkan Jun lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, seramai 699 kru dan tekong turut ditahan sepanjang tempoh itu membabitkan rampasan bernilai lebih RM35 juta.

Terbaharu menurutnya, APMM berjaya menahan sebuah lagi bot nelayan asing Vietnam ketika KM Pekan melakukan rondaan rutin Ops Kuda Laut pada jarak 133 batu nautika dari Kuala Terengganu sekitar jam 11 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berumur antara 28 hingga 30 tahun.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas bot menemui bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan keseluruhan bernilai hampir RM1.5 juta," katanya pada sidang akhbar di jeti APMM Kuala Terengganu hari ini.

Bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam yang ditahan APMM semalam.
Bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam yang ditahan APMM semalam.

Muhammad Suffi berkata, tekong dan awak-awak kemudian ditahan kerana menceroboh perairan negara dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke masa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

"Justeru kita minta kerjasama orang ramai terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!