Putra minta SPRM siasat menteri

Hamidah (tengah) membuat laporan di Pejabat SPRM Meru Raya, Ipoh hari ini.
Hamidah (tengah) membuat laporan di Pejabat SPRM Meru Raya, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat menteri-menteri yang dikaitkan dengan perancangan untuk adakan rundingan terus projek pembangunan air di Kedah bernilai RM550 juta.

Pengerusi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, laporan SPRM dibuat berdasarkan tularnya tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, siasatan terperinci wajar dilakukan kerana rundingan tersebut akan melibatkan individu-individu yang ada kaitan dengan menteri berkenaan.

“Untuk makluman, ibu kepada Zafrul merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif kepada Taliworks Corporation Berhad, manakala Pengarah Eksekutif di syarikat sama dilaporkan ada kaitan dengan anak lelaki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Memandangkan projek ini sudah menjadi kepentingan awam, Putra menggesa SPRM menyiasat secara terperinci perkara itu serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka terlibat jika wujudnya unsur penyelewengan atau salah guna kuasa,” katanya selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Meru Raya di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu tangkap layar perbualan berkaitan penglibatan anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Bina Darulaman Berhad (BDB) dan cadangan penglibatan rakan usahasama Taliworks Corporation dalam projek pembangunan di negeri itu.

Bagaimanapun, Selasa lalu, Setiausaha Politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud menjelaskan perbualan itu sengaja dipetik di luar konteks selain dengan niat curang bagi membina persepsi negatif dan mencemar nama baik pihak berkaitan.

Pada masa sama, Hamidah turut mempersoalkan peranan Takiyuddin sebagai menteri penyelaras antara Kedah dan kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana dengan negeri lain seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan sebagainya, siapa pula menteri penyelaras bagi negeri-negeri ini? Kenapa begitu istimewa hingga ada menteri khas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perbualan Whatsapp Takiyuddin, Tengku Zafrul dipetik di luar konteks

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!