Ekonomi Malaysia kembali pulih pada 2021, kata Bank Dunia

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih tahun depan. Foto 123RF
Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih tahun depan. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih tahun depan berikutan keberkesanan pelancaran program vaksinasi Covid-19, pergerakan eksport berterusan dan momentum peningkatan dalam penggunaan dan pelaburan.

Ahli ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, bank menjangkakan program vaksinasi pertama akan dilancarkan pada suku pertama 2021.

"Dari segi sektor, nampaknya terdapat peningkatan dalam pembuatan pada suku ketiga, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik. Kami turut melihat sektor seperti pertanian sangat berdaya tahan.

"Bergerak ke hadapan, dengan pembukaan kembali ekonomi secara berperingkat, kami mengharapkan peningkatannya dapat dilakukan secara meluas,” katanya semasa taklimat media selepas pelancaran Malaysia Economic Monitor December 2020 hari ini.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6.7 peratus pada tahun 2021, selepas menguncup 5.8 peratus pada 2020 berikutan pelbagai ketidakpastian seperti penggunaan vaksin yang berkesan dan kepesatan pemulihan pertumbuhan global.

Walaupun Malaysia akan menyaksikan pemulihan pada 2021, negara tidak dijangka pulih sepenuhnya daripada kejutan Covid-19 untuk beberapa tempoh akan datang, kata bank dalam laporan berkenaan.

Bank Dunia berkata, kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik dan pakej rangsangan yang dilaksanakan datang bersama kos yang perlu ditampung, dan ia menjangkakan defisit fiskal Malaysia akan meningkat kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020, sementara hutang kerajaan persekutuan telah bertambah kepada 60.7 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, pendapatan kerajaan Persekutuan dijangka menyusut kepada 15.1 peratus daripada KDNK pada 2021, sekali gus ia mengekang kemampuan kerajaan untuk memberi tindak balas kepada kejutan masa hadapan dan terus membiayai agenda pertumbuhan inklusif jangka panjangnya.

Artikel Berkaitan:

"Mengukuhkan kembali simpanan negara adalah sesuatu yang harus dilihat dengan serius, sekurang-kurangnya dalam tempoh sederhana,” kata Shakira.

Mengenai Belanjawan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Shakira berkata, ia akan membantu pemulihan ekonomi melalui beberapa inisiatif seperti program pemindahan wang tunai untuk membantu isi rumah yang mudah terjejas/rentan, dan pengenalan program kemahiran dan peningkatan kemahiran.

"Ini juga pertama kalinya belanjawan negara diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” ujar beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!