Santa Claus dan Elf berkas pengedar dadah
LIMA - Taktik anggota polis yang menyamar sebagai Santa Claus dan Elf akhirnya berjaya memberkas pengedar dadah di Peru.
Kedua-duanya bertindak menyerbu kediaman suspek di daerah Villa El Salvador di bandar Lima ketika operasi antinarkotik yang dilakukan pada Ahad lalu.
Menerusi rakaman video, mereka turut menggunakan tukul besar untuk memecahkan pintu rumah terbabit dan satu pergelutan turut berlaku bersama suspek yang dipercayai mengedarkan kokain dan ganja.
Jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dibuat selepas suspek terbabit didakwa menjual barang terlarang itu berhampiran sebuah sekolah.
Ketika serbuan itu, pihak berkuasa turut menemui sebuah beg mengandungi ratusan kantung kecil dipercayai mengandungi dadah selain sepucuk pistol dan balaclava.
Difahamkan, taktik penyamaran seperti itu pernah digunakan sebelum ini malah ada yang menyamar sebagai tukang sapu dan gelandangan untuk memberkas penjenayah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!