Harimau Malaya sedia asah taring

Safawi kini bersama kelab Portugal, Portimonense SC.
Safawi kini bersama kelab Portugal, Portimonense SC.
A
A
A

NAMA penyerang sensasi, Safawi Rasid tetap berada dalam ‘perkiraan’ pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan bulan depan.

Biarpun sedar usaha menyenaraikan Safawi yang kini bersama kelab Portimonense SC agak sukar memandangkan Liga Portugal sedang berlangsung, Cheng Hoe tidak mahu terus ‘memadam’ nama penyerang berusia 23 tahun itu.

“Ya sudah tentu saya mempunyai bayangan awal senarai nama pemain yang akan mengikuti kem latihan pusat itu nanti. Memang saya ada perancangan untuk memanggil Safawi turut serta dalam kem latihan pusat tersebut.

“Tetapi situasi ketika ini mungkin agak sukar untuk kita memanggil Safawi balik ke Malaysia (menyertai kem latihan pusat) kerana liga di sana (Portugal) masih lagi berjalan.

“Buat masa ini, saya masih belum memuktamadkan senarai pemain. Cuma saya juga merancang untuk memberikan peluang kepada pemain baharu dan muda untuk mengikuti kem latihan pusat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Skuad Harimau Malaya dijangka memulakan kem latihan pusat mulai 15 hingga 26 Januari depan sebagai persediaan menghadapi baki tiga perlawanan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang bakal bersambung pada Mac depan.

Anak-anak buah Cheng Hoe itu terpaksa berehat panjang tahun ini susulan pandemik Covid-19 yang menyaksikan beberapa kejohanan termasuk Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dan Piala AFF dibatalkan.

Kali terakhir Harimau Malaya menghadapi aksi antarabangsa adalah pada November tahun lalu yang menyaksikan mereka menewaskan Thailand 2-0 dan Indonesia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Artikel Berkaitan:

Cheng Hoe memberitahu, aksi persahabatan menentang Bahrain di Manama awal Mac depan dianggap perlawanan pemanas badan terbaik sebelum Harimau Malaya menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Mengikut jadual, Harimau Malaya akan berdepan UAE di Abu Dhabi pada 25 Mac 2021 sebelum melayan kunjungan pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil (30 Mac 2021) dan melengkapkan aksi kelayakan menentang Thailand di Bangkok (15 Jun 2021).

“Walaupun pasukan kebangsaan hanya sempat mengadakan hanya satu perlawanan persahabatan berbanding pasukan lain, bagi saya ia sudah dianggap baik sebelum kita menentang UAE nanti,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!