Polis Kelantan sedia hadapi banjir gelombang kedua
TUMPAT – Polis Kelantan bersedia sepenuhnya menghadapi gelombang kedua bencana banjir dan musim tengkujuh di negeri itu yang dipercayai sudah pun bermula sejak semalam susulan hujan lebat mulai melanda.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pasukannya bersedia mental dan fizikal terutama untuk menurunkan aset yang dimiliki bagi menghadapi situasi tersebut.
“Kalau kita tengok di Kelantan ini, hujan sekali sekala lebat dan air pun sudah mula naik di beberapa daerah. Kami agensi penyelamat telah bersedia sebab kita sudah ada pengalaman semasa gelombang pertama dulu.
“Insya-ALLAH untuk gelombang kedua ini semua sudah sedia,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Perasmian Taman Angkat Amanita di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya akan menurunkan semua logistik yang digunakan sewaktu menghadapi gelombang pertama bencana itu baru-baru ini, bahkan berkemungkinan berlaku pertambahan mengikut keadaan cuaca dan beberapa faktor termasuk keadaan banjir itu sendiri.
“Kita akan guna logistik yang sama dan mungkin bertambah kalau keadaan banjir agak besar. Sebelum ini penggunaan hanya melibatkan 30 hingga 40 peratus memandangkan beberapa tempat ditenggelami air.
"Kali ini insya-ALLAH, semua sudah bersedia. Bekalan makanan mencukupi dan cuti juga dibekukan,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!