Cubaan seludup minyak masak gagal
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan mematahkan cubaan menyeludup 2,465 paket minyak masak bersubsidi ke negara jiran di pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah di sini malam tadi.
Dalam serbuan pada jam 10.21 malam itu, PGA turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan berkenaan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk van berjumlah RM26,162.50.
"Semasa melakukan rondaan di pangkalan haram Jitong, anggota PGA ternampak dua lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari sebuah van dalam keadaan mencurigakan.
"Sejurus anggota PGA menghampiri lokasi tersebut, kedua-duanya terus melarikan diri dengan menaiki perahu menuju ke negara jiran," katanya kepada pemberita.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan 145 kotak minyak yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
"Kesemua barang kes di bawa balik ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut. Hasil siasatan awal, minyak masak tersebut disyaki mahu diseludup bagi mengelak cukai serta untuk pasaran tempatan di negara jiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!