'Tidak mahu ketinggalan' punca remaja terlanjur
SHAH ALAM - Rata-rata remaja yang terlanjur pada hari ini dikenal pasti berpunca dari sikap yang 'tidak mahu ketinggalan' sehingga menyebabkan mereka sanggup berkorban diri atau terkorban.
Ketua Pegawai Eksekutif Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal berkata, berdasarkan temu bual dengan anak-anak remaja terlanjur yang berada di bawah jagaan dan bimbingan pihaknya, kebanyakan mereka sendiri memberitahu tidak mahu terlanjur tetapi terjebak disebabkan kerana mahu mencari teman seperti yang dimiliki kawan-kawan yang lain.
"Mereka mahu menjadi orang yang 'cool' dan boleh 'blend in' dengan semua orang terutamanya dalam kalangan remaja dan belia lain supaya tidak berasa ketinggalan.
"Malah jika dilihat faktor pencetus kes remaja ini terlanjur pada tahun 1998 sehingga awal tahun 2000 dengan tahun 2020 ini juga menunjukkan perbezaan yang ketara.
"Pada awal 1998, jika mereka 'termengandung' semuanya kerana terlanjur dengan tunang sendiri atau teman lelaki yang dikenali di universiti, sekolah atau rakan sekampung tetapi pada hari ini ia sudah berubah kerana semuanya dikenali melalui media sosial terutamanya Facebook," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Tragedi Korban Cinta yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Turut menjadi panelis, pendakwah, Ustaz Syed Mohd Norhisham Tuan Padang, sementara Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan ditemani Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 235, surah al-An'am ayat 151 dan surah al-Nur ayat 26.
Mengulas lanjut, Rosmawati berkata, hari ini apabila ditanya kepada anak-anak remaja di bawah jagaannya, kebanyakannya mengakui tidak tahu dengan siapa mereka pernah terlanjur.
"Apabila ditanya sudah ditiduri berapa ramai lelaki, ia melebihi bilangan di jari kita dan keadaan ini sangat menakutkan.
"Kita faham cinta itu fitrah dan tidak boleh dibuang-buang atau letak di tepi begitu saja sebab ALLAH SWT sudah tetapkan untuk kita. Cuma persoalannya, bagaimana kita nak uruskan?," katanya.
Dalam pada itu katanya, di Raudhatus Sakinah, pihaknya amat menekankan usaha untuk mengembalikan akidah, akhlak dan sirah dalam kalangan anak-anak yang berada di bawah jagaan pusat terbabit.
Menurutnya, rata-rata anak-anak di bawah bimbingannya itu mengakui mereka gagal untuk melaksanakan tuntutan agama Islam kerana tidak yakin serta merasakan ia susah.
"Jadi apabila mereka berada di sini, kita ajar mereka kembali untuk melihat Islam agar menjadi seorang yang sejahtera dalamannya.
"Kita bukan sekadar ajar baca al-Quran dan betulkan tajwid mereka tetapi ajar mereka untuk faham terjemahan ayat itu sendiri sehingga ia hidup di dalam diri mereka.
"Malah kita hidupkan sunnah, selain puasa wajib kita minta mereka buat puasa-puasa sunat, jalankan solat wajib dan bangun malam untuk bercakap dengan ALLAH. Alhamdulillah nampak perubahannya dan penghayatan inilah yang mereka tidak dapat sebelum melalui zaman gelap," katanya.
Rosmawati berkata, apa yang paling penting apabila anak-anak ini sudah pulih dan berhijrah menjadi orang baharu, ibu bapa mahupun keluarga juga perlu berhijrah bersama walaupun mereka tidak tinggal di sini bersama anak-anak.
"Walaupun anak-anak ini pernah membuat kesalahan besar, ia bukan pengakhiran dunia buat mereka, sebaliknya mereka ada ruang dan peluang yang cerah pada masa depan setelah melalui fasa gelap.
"Mereka wajar mendapat sokongan daripada keluarga khususnya ibu bapa kerana telah meletakkan satu 'struggle' yang sangat besar untuk diri mereka kembali menjadi anak yang baik dan diterima masyarakat.
"Kalau ALLAH boleh terima taubat mereka, kenapa kita tak boleh maafkan mereka?" katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!