Belanjawan Perak 2021 lulus sebulat suara

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berucap pada sesi penggulungan Belanjawan 2021 Negeri Perak pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Darul Ridzuan, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berucap pada sesi penggulungan Belanjawan 2021 Negeri Perak pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Darul Ridzuan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM1.215 bilion secara sebulat suara.

Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2021 itu turut mencipta sejarah apabila mendapat sokongan 59 ADUN tanpa sebarang bantahan setelah dibentang dan dibahas selama dua hari bermula 16 Disember lalu.

Sepanjang perbahasan selama sehari pada Khamis, seramai 12 ADUN terdiri daripada enam ADUN yang menyokong kerajaan dan enam ADUN pembangkang terlibat dalam sesi berkenaan.

Lebih menarik, apabila sesi perbahasan tersebut disifatkan sebagai paling aman dalam sejarah pembentangan belanjawan di negeri ini.

Hari ini, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad membuat penggulungan terakhir perbahasan Belanjawan Perak 2021 sebelum ia diluluskan.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.

59 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.

Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga.

Artikel Berkaitan:

Pada pembentangan Rabu lalu, Saarani mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2021 kepada RM1.215 bilion berbanding RM1.098 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, RM785.1 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Belanjawan 2021 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM154 juta sekaligus merupakan tertinggi dalam sejarah belanjawan Perak.

Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif' itu memberi fokus untuk menjana pertumbuhan ekonomi seimbang, menitikberatkan keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat untuk menikmati kehidupan yang berkualiti.

Selain itu juga, belanjawan ini bermatlamat meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar secara efektif, memacu pemodenan serta pendigitalan institusi bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan awam yang bersih dan terbaik di seluruh Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!