Melaka cadang laksana PKPD di Pusat Koreksional Jasin
MELAKA - Melaka bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas kawasan yang terjejas Covid-19 seperti di Pusat Koreksional Jasin (PKJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia susulan 98 kes baharu dilaporkan dalam kalangan banduan di PKJ semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes daripada institusi itu seramai 133 orang dengan 110 daripadanya adalah warganegara.
Menurutnya, langkah itu akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan kontak rapat secara menyeluruh, kuarantin kontak rapat secara berpusat dan untuk tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengelak penularan dalam kalangan kakitangan serta komuniti.
Tambah beliau, Penjara Sungai Udang dan PKJ diaktifkan sebagai Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) Covid-19 bagi merawat kes berisiko rendah dan sehingga kelmarin seramai 1,732 banduan baharu dimasukkan ke penjara di Melaka.
"Setakat ini PKJ dijadikan pusat transit bagi kemasukan banduan baharu khususnya banduan lelaki di negeri berkenaan selain Pusat Transit Tahanan A Famosa.
"Jadi kita perlu mengambil langkah menangguh serta-merta kemasukan banduan baharu ke semua penjara transit di Melaka untuk mengekang penularan kes Covid-19," katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, terdapat peningkatan kes di PKJ, namun penularan adalah terkawal kerana berlaku dalam kalangan banduan sahaja serta tidak merebak ke dalam komuniti.
"Saya ingin menjelaskan tiada jangkitan kes Covid dalam komuniti dan keadaan adalah terkawal memandangkan semua kes tertumpu di penjara dan saya menyeru kepada semua rakyat Melaka untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM," kata beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!