Semua berisiko ancaman zina
SHAH ALAM - Sesiapa sahaja berisiko untuk terjerumus melakukan zina atau maksiat kerana taktik atau godaan itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan cara.
Pendakwah, Ustaz Syed Mohd Norhisham Tuan Padang berkata, ancaman zina ini bukan saja berlaku kepada mereka yang langsung tidak membaca atau belajar al-Quran, malah mereka yang memiliki asas agama juga boleh kecundang.
"Namun itu tidak bermakna, mereka yang belajar Quran ini sia-sia disebabkan ada segelintir yang terjerumus ke lembah maksiat.
"Saya tidak simpulkan begitu tetapi apa yang hendak saya katakan di sini bahawa sesiapa sahaja mempunyai risiko untuk menjadi mangsa ancaman zina ini," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk Tragedi Korban Cinta yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Turut menjadi panelis, Ketua Pegawai Eksekutif Raudhatus Sakinah, Rosmawati Zainal, sementara Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan ditemani Qari Malaysia, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 235, surah al-An'am ayat 151 dan surah al-Nur ayat 26.
Mengulas lanjut, Syed Mohd Norhisham berkata, tidak kira seseorang manusia itu berada pada tempat atau zaman mana, manusia tetap manusia dan keinginan atau nafsu lelaki berkehendak kepada wanita akan tetap sama, begitu juga sebaliknya.
Tegasnya, begitu juga al-Quran ia hadir untuk merawat manusia dan kehebatannya bukan untuk zaman dahulu sahaja tapi ia menjadi solusi pada zaman kini juga.
"Sebab itu dalam surah al-An'am ayat 151, ALLAH SWT sebut jangan dekati perkara keji begitu juga dalam ayat yang berkait zina. ALLAH SWT tak sebut jangan berzina tapi sebut jangan dekati zina, maknanya ada penekanan kaedah pencegahan dalam ayat ini.
"Apa sahaja yang boleh membawa kepada zina maka ia haram dan banyak faktor-faktor yang merangsang nafsu sehingga berlaku korban cinta. Inilah cabaran yang ada, jangan lupa doa kepada ALLAH SWT, sentiasa titikberatkan ilmu tauhid kepada masyarakat khususnya anak-anak sebagai langkah pencegahan," katanya.
Dalam pada itu, Syed Mohd Norhisham turut mengulas kandungan surah al-Baqarah ayat 235 yang dibincangkan, di mana terdapat ungkapan dalam ayat itu yang ALLAH SWT sebut bahawa DIA maha mengetahui isi hati manusia apabila seseorang itu jatuh hati iaitu kepada perempuan, selain turut melarang untuk seorang lelaki dan wanita bercakap atau berbincang secara bersembunyi.
"Maknanya tak boleh PM (private message) tepi, DM (Direct Message) tepi secara senyap-senyap, walaupun kita tahu cinta atau perasaan ingin mencintai dan dicintai itu adalah lumrah.
"Sebagai contoh kisah Adam, sudah duduk dalam syurga dengan segala nikmat tetapi dia mahukan pasangan, maka Islam hadir menguruskan perasaan itu. Islam hadir mengatur manusia bagaimana menguruskan perasaan tadi dan kalau silap cara urus boleh jadi tragedi tetapi kalau urus dengan baik ia menjadi ibadah kepada ALLAH," katanya.
Tambahnya, Rasulullah SAW juga pernah memberitahu kepada para sahabat 'jika kamu ambil sampah dan buang akan dapat pahala, senyum serta damaikan orang bergaduh juga akan peroleh pahala sedekah'.
"Malah turut disebut baginda jika seseorang mendatangi (menyetubuhi) isterinya juga akan mendapat pahala. Para sahabat menyoal Rasulullah, bagaimana dengan suami penuhi kehendak syahwat juga boleh mendapat pahala?
"Lalu Rasulullah balas semula, 'bagaimana kalau dia berzina dapat dosa tapi dengan cara perkahwinan akan dapat pahala?'. Maksudnya dengan cara perkahwinan, Islam dah atur ada hak-hak yang perlu dijaga lantaran dari cinta dan kasih sayang yang diuruskan dengan secara baik tadi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tidak mahu ketinggalan' punca remaja terlanjur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!