Ibu dukung anak OKU harung banjir

Azizah bersyukur sempat membawa Nur Alif Hakimi lebih awal ke PPS memandangkan kediamannya kini sudah dimasuki air sejak pagi tadi.
Azizah bersyukur sempat membawa Nur Alif Hakimi lebih awal ke PPS memandangkan kediamannya kini sudah dimasuki air sejak pagi tadi.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang ibu sanggup mengharung air sejauh 500 meter sambil mendukung anaknya yang menghidap cerebral palsy untuk keluar dari kawasan kediamannya yang mula dinaiki air pada Khamis.

Azizah Mohamad, 46, memberitahu, walaupun ini bukan kali pertama dia berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun setiap kali tibanya musim tengkujuh, dia akan sibuk mempersiapkan barangan keperluan anak bongsunya, Nur Alif Hakimi Norarizan, 12, yang memerlukan bantuan sepenuhnya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu sudah membuat persiapan awal bagi persediaan menghadapi banjir gelombang kedua memandangkan beberapa daerah di negeri ini menerima hujan tanpa henti yang lebat sejak Rabu.

Azizah berkata, sewaktu membuat keputusan untuk berpindah ke PPS, dia dan suami, Norarizan Mohamad, 52, telah pun menyiapkan segala kelengkapan yang perlu dibawa terutamanya lampin pakai buang, susu dan nestum Nur Alif Hakimi.

"Saya terpaksa mendukung Alif sebab suami akan bawa semua barang. Walaupun berat badan dia hanya 12 kilogram, namun dalam keadaan meredah banjir sehingga paras paha bukan satu yang mudah bagi saya. Menggigil-gigil tangan saya sehingga sampai ke tempat kami meletak kenderaan.

"Tapi saya reda dengan ketentuan ALLAH memberi saya rezeki anak istimewa. Apa yang penting, dia selamat dan kami semua dapat berpindah secepat mungkin memandangkan air naik begitu cepat," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelewek, Tanah Merah di sini hari ini.

Azizah adalah antara empat keluarga yang dipindahkan ke PPS tersebut sejak Khamis selepas kediaman mereka di Taman Sri Agor mula dinaiki air.

Sementara itu, pengalaman yang sama juga dilalui Mohd Zamri Mamat, 51, yang menggendong anak perempuannya yang juga menghidap sindrom down.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terpaksa berulang alik lebih empat kali, namun tetap digagahi Zamri bagi memastikan dia dapat memindahkan barangan penting dan juga anak bongsunya itu ke tempat yang lebih selamat.

"Saya tengok air naik dengan cepat. Saya dan isteri memang sudah siap sedia semua kelengkapan yang kami perlu bawa untuk ke PPS. Selepas angkat semua barang dan bawa ke kereta, saya akan gendong Arisya Nur Hazirah, 10, untuk dibawa ke kereta.

"Walaupun Arisya boleh berjalan seperti biasa, namun saya tetap risaukan keselamatannya yang sering kali teruja apabila tiba musim banjir," katanya.

Isteri Zamri, Roslina Mohd Ariffin, 49, juga memberitahu, dia sememangnya sudah membuat persiapan awal dengan mengangkat semua kelengkapan rumah ke tempat yang lebih tinggi supaya mereka tidak kelam kabut apabila air naik.

Roslina (kiri) dan Mohd Zamri bersama anak mereka Arisya Nur Hazirah, 10, yang menghidap sindrom down kini berpindah ke PPS SK Sri Kelewek selepas kediaman mereka dinaiki air pada Khamis.
Roslina (kiri) dan Mohd Zamri bersama anak mereka Arisya Nur Hazirah, 10, yang menghidap sindrom down kini berpindah ke PPS SK Sri Kelewek selepas kediaman mereka dinaiki air pada Khamis.

"Masa gelombang pertama lagi kami bawa naik barang ke tempat yang lebih tinggi supaya tidak kelam kabut kalau air naik dengan cepat. Alhamdulilah semuanya selamat dan kami berjaya pindah ke PPS sebelum air masuk ke dalam rumah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Tanah Merah, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit ketika ditemui memberitahu, pihaknya sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian khusus kepada keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa.

"Kami akan beri perhatian khusus memandangkan ada di antara mereka yang memerlukan bantuan khas untuk menguruskan anak terutamanya dari segi penyediaan makanan dan sebagainya.

"Kami harap pihak keluarga dapat bekerjasama untuk maklumkan kepada kami keperluan mereka supaya kami dapat menyediakan yang terbaik untuk semua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!