Rezeki musim tengkujuh

Peniagar hasil laut, Ahmad Shahril Rosli, 32, menunjukkan ketam segar yang dijual oleh nelayan kepadanya di Pasar Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.
Peniagar hasil laut, Ahmad Shahril Rosli, 32, menunjukkan ketam segar yang dijual oleh nelayan kepadanya di Pasar Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.
A
A
A

GEORGETOWN - Musim tengkujuh mungkin menjadi kegusaran kepada kebanyakan nelayan berikutan kekurangan hasil tangkapan, namun situasi berbeza bagi nelayan di Sungai Batu dekat daerah Barat Daya kerana pendapatan mereka tidak terjejas.

Nelayan pantai (Kelas A), Mohd Ismail Ahmad, 60, berkata, disebabkan kedudukan kawasan perairan Sungai Batu itu terlindung daripada peralihan angin monsun, banyak hasil laut dapat diperoleh biarpun kehadiran musim tengkujuh.

"Kawasan ini terletak agak terlindung dari gelombang besar (disebabkan kedudukan geografi pulau yang terlindung dari angin monsun), hasil tangkapan utama seperti udang, ikan dan sebagainya tidak terjejas seperti yang berlaku di sesetengah kawasan Pantai Timur.

"Alhamdulillah, kami sifatkan di sini tiada musim tengkujuh seperti kebanyakan kawasan kerana kami boleh turun ke laut tanpa ada kerisauan tentang keadaan cuaca dan menangkap hasil laut seperti hari biasa," katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Nelayan Unit Sungai Batu di sini.

Katanya, dalam sehari hasil tangkapan laut termasuk udang, ketam dan juga ikan-ikan campur boleh dianggarkan bernilai RM2,000 untuk satu perahu bergantung kepada rezeki.

Kelihatan nelayan melakukan rutin harian dengan turun ke laut untuk mencari hasil laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.
Kelihatan nelayan melakukan rutin harian dengan turun ke laut untuk mencari hasil laut di Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini.

Seorang lagi nelayan pantai (Kelas A) Mohd Yusoff Saidon, 64, berkata, walaupun menganggap musim tengkujuh sebagai 'rahmat' namun dia tetap mengambil pendekatan berhati-hati jika berlakunya ribut.

"Di sini tiada istilah musim tengkujuh sebab kami boleh turun ke laut pada bila-bila masa kecuali jika hari ribut tidak turun (ke laut) dalam sehari dua...tidak seperti (nelayan) Pantai Timur yang tidak ke laut sebulan dua apabila musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Malah, hasil tangkapan pada masa sekarang kebanyakannya ada udang, ketam, ikan bawal dan juga ikan campur...boleh dikatakan ada hasilnya," katanya yang menjadi kebiasaan mendaratkan hasil tangkapan ikan kembong sebanyak 60 hingga 100 kilogram (kg) sehari.

Tinjauan Bernama dalam keadaan hujan renyai di Pasar Nelayan Unit Sungai Batu semalam, mendapati kebanyakan hasil tangkapan nelayan di situ adalah udang rawa, udang belang dan udang besar.

Nelayan Syafiq Tarmizi, 29, menunjukkan hasil tangkapan yang diperolehi ketika ditemui di Sungai Batu, Teluk Kumbar.

Nelayan Syafiq Tarmizi, 29, menunjukkan hasil tangkapan yang diperolehi ketika ditemui di Sungai Batu, Teluk Kumbar.


Sementara itu, nelayan pantai (Kelas A) persendirian Rosli Sahak, 60 berkata, walaupun meraih rezeki ketika musim tengkujuh namun terdapat juga kekangan yang perlu dihadapi apabila ada segelintir nelayan menggunakan pukat harimau.

Katanya, penggunaan pukat harimau memberi kesan buruk ke atas ekosistem seperti pencemaran.

"Hal ini terjadi apabila nelayan menggunakan pukat harimau, ia telah menyebabkan lumpur yang mendap di dasar laut telah naik menyebabkan air laut tercemar, hasil tangkapan kurang, menjejaskan benih-benih ikan selain merosakkan pukat hanyut yang digunakan oleh nelayan di sini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!