Tiada wang, lelaki balik kampung guna pelampung
BALIKPAPAN - Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa meredah lautan semata-mata mahu pulang ke kampung halaman dengan menggunakan pelampung kerana tidak memiliki wang.
Lelaki bernama Dedik, 27, ditemui terapung selama tiga jam dengan berpaut kepada dua tong air di perairan Teluk Balikpapan, Kalimantan Timur, pada Rabu lapor Kompas.
Dedik dikatakan mahu pulang ke kampung halamannya di Malang, Jawa Timur.
Dia yang disangka sudah lemas ditemui oleh penduduk tempatan kira-kira 300 meter dari daratan.
"Kami mendapat maklumat daripada penduduk (pengusaha bot laju), menemui lelaki lemas. Kami terus bergegas ke lokasi.
"Dedik telah diselamatkan dan dibawa ke darat," kata Ketua Polis Pelabuhan Balikpapan Semayang, AKP Retno Ariani pada Khamis.
Sebelum ini, Dedik tinggal bersama abangnya di kampung Gunung Bahagia Balikpapan Selatan.
Berikutan tidak bekerja, Dedik keluar dari rumah itu dan mahu pulang ke kampung.
"Kerana tiada duit, dia terpaksa menggunakan pelampung untuk sampai ke kampung.
"Sudah tiga jam terapung, bersyukur dia selamat dan tidak terapung jauh," kata Retno.
Ketika ditemui, Dedik tidak mengalami kecederaan.
Menurut Retno, lelaki berkenaan memiliki rekod kesihatan penyakit kemurungan.
"Semasa membawa pulang ke kampung, kakak mangsa beritahu adiknya alami penyakit kemurungan dan pernah menjalani rawatan selama sembilan bulan di hospital," jelasnya.
Kisah Dedik mendapat perhatian netizen setelah foto dia terapung di laut tular di laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!