Keseronokan tergendala, warga asing diperiksa Imigresen

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keseronokan warga asing meluangkan masa sempena cuti umum Tahun Baru Cina bersiar-siar di ibu kota tergendala apabila mereka diserbu penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam satu operasi khas semalam.

Menerusi Operasi Penguatkuasaan itu, Imigresen memfokuskan kawasan yang terdapat ramai kehadiran warga asing tanpa memasuki pusat-pusat membeli belah bagi mengelakkan mengganggu keselesaan pelancong asing dan tempatan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi berjalan lancar namun terdapat segelintir warga asing yang mengambil mudah dengan tidak membawa apa-apa dokumen seperti pasport dan i-kad ketika keluar bersiar-siar.

“Sikap sebegini tidak mencerminkan kesedaran dan tanggungjawab mereka sebagai warga asing yang berada di Malaysia dan seterusnya tidak menghormati undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul berkata, operasi yang dijalankan pada jam 3 petang itu telah memeriksa 536 warga asing dari pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu 123 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Pati yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh 68 orang, diikuti dengan Indonesia 36 orang, Myanmar tujuh orang, Nepal sembilan orang dan seterusnya Pakistan, Yaman dan India masing-masing seorang.

“Mereka yang ditahan berumur diantara 25 ke 45 tahun, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, antara kesalahan yang dilakukan tahanan adalah tiada dokumen pengenalan diri, salahguna pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Majoriti warga asing yang diperiksa mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) termasuk pas lawatan sosial (PLS) yang sah.

Artikel Berkaitan:

“Januari lalu, Imigresen telah menjalankan 1,353 operasi penguatkuasaan. Seramai 16,651 warga asing diperiksa dan 5,091 Pati ditahan. Manakala seramai 83 majikan juga turut ditahan,” katanya.

Khairul menambah, operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan setiap hari untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi Pati atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Pati dialu-alukan tampil menyalurkan maklumat tersebut,” katanya lagi.

Operasi Penguatkuasaan itu turut disertai oleh pegawai dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!