Sindiket pelaburan 'AliExchange' dan 'Goldmine International' tumpas

Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua sindiket penipuan pelaburan iaitu 'Crytpocurrency AliExchange' dan 'Goldmine International' tumpas selepas polis berjaya memberkas 13 individu secara berasingan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Zainuddin Yaacob berkata, seramai sembilan individu termasuk tiga wanita dan seorang dalang berusia 32 hingga 59 tahun ditahan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

"Kita turut merampas sebanyak 11 telefon bimbit pelbagai jenama, 20 keping kad ATM pelbagai bank, dua keping kad kredit, empat buah tablet, lima buah komputer riba, lima buah kereta mewah serta wang tunai berjumlah RM 109,594," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Zainuddin berkata, modus operandi pelaburan itu adalah menggunakan platform dagang mata wang kyrpto yang dikenali sebagai Ali Coin.

"Setiap pelabur telah diberikan akses melalui aplikasi AliExchange supaya mangsa dapat melihat kadar pulangan serta imbuhan yang dijanjikan," katanya.

Menurutnya, sindiket terbabit turut mengupah warga Eropah sebagai jurucakap untuk seminar di beberapa buah hotel bagi meyakinkan mangsa.

"Keuntungan yang dijanjikan ialah lima peratus hingga 15 peratus sebulan berdasarkan pelaburan yang dibuat," katanya.

Menurutnya, mangsa dikehendaki membeli Ali Coin iaitu mata wang digital dengan harga RM4.70 bagi setiap satu Ali Coin.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah minimum yang ditawarkan adalah sebanyak 10,000 Ali Coin bersamaan dengan nilai RM 47,000. Mangsa terpedaya apabila tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zainuddin berkata, seorang lelaki dan tiga wanita tempatan disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan ‘Gold Mine International’ ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar ibu kota ini, Selangor dan Kedah pada Khamis.

"Kita berjaya menahan kesemua individu berusia antara 30 dan 60 tahun termasuk dalang sindiket berkenaan yang dikenali dengan panggilan 'Datuk Nadim'," katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis berkaitan sindiket berkenaan membabitkan kerugian berjumlah RM930,920.

"Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud menerusi empat pakej membabitkan nilai pelaburan antara AS$100 (RM420) hingga AS$10,000 (RM42,000) dengan pulangan sebanyak 10 hingga 13 peratus.

“Keuntungan itu akan meningkat apabila melabur dengan banyak. Pelabur dikatakan memperoleh keuntungan antara RM42 dan RM5,400 setiap minggu tanpa had,” katanya.

Beliau berkata, pelabur turut diberikan pautan portal bagi menjana pelaburan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, portal berkenaan sudah ditutup.

"Sindiket itu juga menawarkan komisen tinggi kepada ejen melalui empat peringkat yang memperuntukkan komisen antara dua hingga 10 peratus bagi setiap pelanggan,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya merampas tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM13,600, beberapa kad ATM serta satu fail mengandungi pelbagai dokumen dipercayai berkaitan pelaburan sindiket terbabit.

"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!