GRVATM gesa reformasi segera pengurusan JHEV ATM
PARIT BUNTAR - Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) menggesa Kementerian Pertahanan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap pengurusan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) demi kepentingan masa hadapan veteran tentera negara ini.
Pengerusinya, Azizan Salleh, desakan mereformasikan segera sistem pengurusan JHEV ATM di seluruh negara amat penting memandangkan sistem sedia ada dianggap ketinggalan zaman dan kurang memberi manfaat terhadap kebajikan lebih 100,000 ahli veteran ATM negara ini.
Menurutnya, sistem pengurusan JHEV sedia ada juga tidak memenuhi keperluan bekas pesara tentera susulan masalah kekangan kakitangan bertugas dan kemudahan disediakan masih di takuk lama dan tidak dinaik taraf sejak dahulu lagi.
"Bayangkan, bagi menjaga kebajikan lebih 30,000 veteran tentera di kawasan utara semenanjung meliputi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, hanya satu pejabat JHEV beroperasi di Kedah dengan kekuatan anggota hanya dua pegawai selain kemudahan pengangkutan tidak mencukupi.
"Pihak kami tidak menyalahkan pegawai JHEV di atas kekerapan berlaku kelewatan menyelesaikan pelbagai permohonan bantuan daripada ramai veteran ATM memerlukan berdasarkan kekangan dihadapi mereka.
"Namun, dalam isu ini, kerajaan dan Kementerian Pertahanan perlu memainkan peranan besar memastikan segala kemudahan diperlukan pegawai JHEV untuk bekerja lebih efisien bagi membantu golongan veteran ATM dipenuhi, termasuk penambahan pegawai JHEV di setiap kawasan," katanya kepada media selepas mewakili rombongan GRVATM menyerahkan sumbangan kepada seorang veteran ATM kurang upaya di Kampung Lebai Akhir, di sini hari ini.
Azizan berkata, selain memperkasakan sistem pengurusan JHEV di seluruh negara, pihaknya turut mencadangkan Kementerian Pertahanan melantik wakil daripada kalangan anggota bekas tentera untuk menjadi agen JHEV dalam menjaga kebajikan golongan veteran ATM di setiap negeri.
Menurutnya, cadangan inisiatif murni ini dilihat lebih efektif bagi membantu mengenal pasti mana-mana golongan veteran ATM yang bermasalah dan uzur, disalurkan bantuan segera.
"Sehingga kini, masih ramai lagi golongan veteran ATM bergelut meneruskan kehidupan menyara keluarga masing-masing disebabkan kadar pencen diterima tidak setimpal dengan jasa ditaburkan di samping kurang diberi perhatian pihak kerajaan.
"Sampai bila golongan veteran tentera akan terus dianaktirikan meskipun sebahagian besar usia muda mereka dikorbankan bagi menjaga kedaulatan dan keamanan negara ini?" katanya.
Azizan turut menyeru semua golongan veteran ATM di seluruh negara untuk turun menyertai perhimpunan aman anjuran GRVATM pada bulan hadapan di Kuala Lumpur bagi mendesak Kerajaan PH membela nasib mereka.
Sementara itu, pesara Unit 3 Renjer Kem Oran, Abdul Halim Salleh, 60, yang menghidap penyakit kanser usus merayu Kementerian Pertahanan memudahkan urusannya mendapatkan bantuan perubatan bagi merawat penyakit dihidapi.
Menurutnya, selain tidak lagi berupaya bekerja kerana masalah kesihatan, dia kini turut menanggung perbelanjaan seorang anaknya yang kini tidak mampu bekerja kerana menghidap masalah tulang belakang.
"Dengan wang pencen bersih RM500 sebulan, saya terpaksa gunakan untuk menampung keperluan isteri dan seorang anak yang mempunyai masalah kesihatan.
"Saya merayu sangat Kementerian Pertahanan melalui JHEV dapat turun padang membantu veteran ATM kurang upaya seperti kami untuk meneruskan sisa kehidupan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!