PPSB perlukan masa untuk dapatkan gambaran sebenar

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Penang Port Sdn Bhd (PPSB) perlu diberi masa untuk mendapat arahan selanjutnya daripada kementerian berhubung keputusan untuk terus mengekalkan perkhidmatan feri sedia ada yang menjadi lambang ikonik di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pengurusan PPSB perlukan ruang untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara itu sama ada daripada Kementerian Kewangan (MOF) atau Kementerian Pengangkutan (MOT) mengenai pengumuman yang dibuat pada Khamis.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menunggu penjelasan sebenar berhubung isu berkenaan daripada PPSB dan juga Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

"Saya ada baca laporan media bahawa PPSB juga terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh menteri semalam. Jika mengikut kepada apa yang PPSB laporkan kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini, memang itu (mengekalkan perkhidmatan feri) bukan dalam perancangan mereka.

"Saya rasa kita berikan masa kepada pengurusan PPSB untuk mendapatkan arahan selanjutnya sama ada daripada MOF atau MOT," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, PPSB dan SPPP juga perlu menjelaskan sama ada tempoh interim bermula 1 Januari depan akan dilaksanakan seperti dirancang atau sebaliknya.

"Perancangan yang dibentangkan oleh pihak pengurusan syarikat itu mengenai pelan penambahbaikan perkhidmatan feri kepada kerajaan negeri sebelum ini tidak sama dengan apa yang diumumkan kerajaan Pusat semalam.

"SPPP dan PPSB perlu menjawab mengenai tempoh interim dari 1 Januari 2021 hingga Jun 2022 seperti yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengekalan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang belum diputuskan lagi sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
Pengekalan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang belum diputuskan lagi sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai kekeliruan yang timbul berikutan ia dibincang di peringkat kerajaan Pusat.

"Saya tidak berada dalam kerajaan, jadi saya tidak tahu apa yang dibincangkan. Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap dengan pendirian yang ingin perkhidmatan feri ikonik dan warisan dikekalkan," katanya.

Menjawab soalan sama ada pelan menamatkan perkhidmatan feri ikonik berkenaan menunjukkan kerajaan Pusat menganaktirikan kerajaan negeri Pulau Pinang, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap ia mendapat penghargaan sewajarnya daripada sumbangan ekonomi dan pembangunan oleh kerajaan negeri kepada negara.

"Pulau Pinang boleh menyumbang lebih baik kepada negara sekiranya mendapat sokongan seperti kelulusan projek dan jaminan pinjaman daripada kerajaan Pusat.

"Jika kerajaan Pusat menghargai sumbangan kita kepada pembangunan dan ekonomi kepada negara, maka kerajaan perlu luluskan dana untuk kita teruskan projek yang mana sokongan itu juga adalah sokongan untuk rakyat Malaysia.

"Kita tidak pernah menafikan bantuan dana tahunan yang diberikan kerajaan Pusat menerusi bajet atau rancangan pembangunan Malaysia, cuma kita berharap dapat lebih apa yang diberi sebelum ini," katanya.

Pada Khamis, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Sidang Dewan Rakyat berkata, PPSB akan disyaratkan untuk meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang sudah menjadi ikonik dan warisan di negeri ini buat masa ini.

Ia berikutan kerajaan Pusat sebelum ini meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk PPSB mengendalikan perkhidmatan feri tersebut.

Bagaimanapun, pengumuman itu menimbulkan persoalan kerana dilihat tidak selari dengan pelan penambahbaikan perkhidmatan feri yang diumumkan SPPP pada Selasa lalu.

Terdahulu, Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheng mengumumkan bahawa perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari depan yang mana feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar termasuk kereta persendirian tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif, sebaliknya perlu menggunakan dua buah jambatan sedia ada di negeri ini.

Menurutnya, PPSB akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!