Yakin tiada sabotaj di PRK Semenyih
ALOR SETAR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyangkal dakwaan konon parti itu berselisih pandangan berhubung calon PRK Semenyih sehingga wujud protes dalaman dengan menaikkan beberapa sepanduk menolak senarai nama calon yang berpotensi.
Menurutnya, apa yang berlaku sebaliknya adalah propaganda pihak lawan, yang melancarkan perang saraf bagi memperlihatkan wujud keretakan dalam Bersatu.
Katanya, itu hanya taktik lama dalam kempen pilihan raya dan percaya pengundi mahupun ahli parti tidak terkesan dengan propaganda itu.
“Saya percaya itu propaganda pihak lawan, yang mungkin sudah dapat agak siapa antara nama-nama disenarai pendek, dengan cepat mereka lakukan perang saraf konon ada perpecahan dalaman. Ini taktik lama dalam Umno, kita dulu pun Umno, kita tahulah,” katanya, pada sidang media, selepas majlis Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Cina di Seri Mentaloon, hari ini.
Mukhriz juga yakin tidak akan berlaku sabotaj kalangan ahli PH pada PRK Semenyih sekiranya nama tertentu tidak terpilih sebagai calon.
“Pihak luar yang lakukan propaganda itu, bukannya ahli Bersatu yang konon tak sokong kemungkinan calon yang disenarai pendek itu. Setakat ini, perpaduan di bahagian Hulu Langat pada tahap yang memuaskan,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan ura-ura parti itu di Hulu Langat berpecah kepada beberapa kem dan menyebabkan pergeseran dalam pemilihan calon.
Beberapa sepanduk dilihat dipasang bagi menyatakan tidak berpuas hati apabila nama pemimpin mereka tidak dicadangkan kepada kepimpinan.
Malah terdapat sepanduk yang memangkah wajah beberapa individu yang didakwa tidak layak untuk dicalonkan.
Mengulas mengenai pemilihan calon, Mukhriz berkata, proses penilaian masih berlangsung untuk memilih calon terbaik dan boleh menang.
“Kita sedang pertimbangkan semua tokoh yang ada di situ, kita tidak hadkan kepada beberapa calon untuk disenarai pendek. Setakat ini, ada (calon) dicadangkan dari bahagian, Armada dan Srikandi. Ada juga dari luar bahagian yang kemukakan ‘resume’ sendiri, semua akan kita pertimbangkan,” katanya.
Menurutnya, walaupun sebelum ini Srikandi berharap agar calon sayap itu diketengahkan, namun keutamaan harus diberikan kepada calon boleh menang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!