Ceupacs gesa kerajaan kaji semula skim gaji, elaun anggota polis

Adnan (kiri) bersama Hamid selepas selesai mengadakan pertemuan bersama di Pejabat Ketua Polis Negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Adnan (kiri) bersama Hamid selepas selesai mengadakan pertemuan bersama di Pejabat Ketua Polis Negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula skim gaji anggota polis termasuk elaun semasa yang diterima.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia selaras dengan cabaran semasa dalam skop kerja anggota keselamatan negara tersebut.

Beliau berkata, cadangan tersebut penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi penguat kuasa khususnya polis daripada terjerumus ke dalam jenayah salah laku.

Menurutnya, skim gaji dan elaun semasa anggota polis ketika ini tidak setimpal dengan bebanan kerja yang ditanggung oleh anggota polis.

“Sebagai contoh, anggota polis kebanyakannya bekerja lebih daripada masa yang normal bagi pekerja biasa. Purata bertugas anggota polis adalah sekitar 12 jam sehari dan sekiranya ada operas,i ia boleh mencecah sehingga 24 jam.

“Lebihan masa bertugas ini pula tidak boleh dituntut elaun kerja lebih masa. Ia belum mengambil kira dipanggil bertugas walaupun sedang bercuti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Adnan mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador di Bukit Aman di sini.

Pelbagai pandangan dan maklum balas telah dilontarkan kedua-dua pihak bagi memastikan hal-hal kebajikan dan keselamatan warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa terjamin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Adnan berkata, pihaknya tidak mahu disebabkan bebanan kerja yang berat dan tidak setimpal dengan gaji diterima, anggota polis mengambil keputusan melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

“Seperti yang dikatakan oleh Ketua Polis Negara dalam sesi pertemuan, gaji yang tidak setimpal ini boleh menggalakkan anggota polis menahan orang dan menjatuhkan hukum di situ juga iaitu menjadi ‘majistret jalanan’ (dengan mengambil rasuah).

“Justeru, apabila kebajikan dan kesejahteraan anggota polis ini dijaga dengan sewajarnya, ia sudah tentu dapat membendung gejala rasuah dan juga salah guna kuasa,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Adnan berkata, pihaknya juga mencadangkan agar lebih banyak perumahan atau kuarters untuk anggota polis dibina pada masa akan datang.

Katanya, kuarters-kuarters lama yang ada perlu diperbaiki segera kerana kebanyakannya sudah tidak sesuai lagi untuk didiami.

“Pembinaan kawasan perumahan atau kuarters yang berhampiran dengan kawasan kerja juga boleh meningkatkan lagi kesejahteraan anggota polis kerana mereka tidak perlu untuk membeli atau menyewa rumah di kawasan yang jauh kerana faktor harga rumah yang tinggi.

“Sudahlah mereka ini bekerja lebih masa, terpaksa pula berulang alik jauh dari rumah. Justeru, pihak kami yakin bahawa jika isu kebajikan anggota polis ditangani sebaiknya, maka masalah seperti salah laku dan rasuah ini dapat dibendung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!