19 barangan harga kawalan sempena Krismas
PUTRAJAYA- Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020 bagi 19 barangan harga terkawal akan berkuat kuasa pada 22 hingga 31 Disember ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim itu dilaksanakan selama 10 hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas Krismas.
"Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya dalam pengumuman penentuan harga maksimum sempena Krismas yang disiarkan menerusi laman Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan SHMMP Krismas 2020 dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan Krismas tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan," katanya.
Beliau berkata, KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga daripada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2019 dan pada bulan Januari hingga Disember 2020 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.
"Kementerian juga mengambil pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), selain turut mengadakan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut," katanya.
Alexander berkata, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
"Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, tindakan boleh diambil selain notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 turut dikeluarkan," katanya.
Katanya, 19 barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam Belanda import, ayam tua hidup, babi hidup, perut babi, daging dan lemak babi.
Antara turut disenaraikan adalah telur ayam gred B dan C, daging kambing tempatan bertulang, ubi kentang China, lobak merah, tomato, lada Benggala dan kepak ayam.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
"Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan," katanya.
Beliau berkata, kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.
"Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian ini melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi Ez ADU, WhatsApp ke 019- 279 4317 ataupun lapor ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara," katanya.
Tambahnya, kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.
"Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.
"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!