[DIKEMASKINI] 43 petugas kesihatan, perubatan positif Covid-19

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Seramai 43 petugas kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilapor positif Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya merekodkan 1,771 kes berlaku dalam kalangan petugas terbabit.

"Sebanyak 1,359 (76.7 peratus) kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini (Jumaat)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, jururawat merupakan yang tertinggi dijangkiti wabak itu dengan 690 kes diikuti pegawai perubatan 211 kes.

"Pembantu perawatan kesihatan yang dijangkiti Covid-19 adalah 146 kes, pembantu pegawai perubatan 144 kes dan pegawai perubatan siswazah 84 kes," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan, 587 (33.1 peratus) petugas mendapat jangkitan daripada komuniti dan 565 (31.9 peratus) berlaku di antara petugas-petugas kesihatan.

"Sebanyak 152 (8.6 peratus) kes jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan Covid-19, 58 (3.3 peratus) kes tidak diketahui punca dan 409 (23.1 peratus) lagi punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2 peratus pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin," katanya.

Dalam pada itu beliau mengesahkan berlaku jangkitan di Hospital Serdang yang melibatkan 29 petugas perubatan dan 28 pesakit.

"Kesemua individu yang dijangkiti telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya.

Menurutnya, siasatan oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Hospital Serdang telah dapat mengenal pasti punca jangkitan.

Sementara itu beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang masih menyiasat punca 54 kes jangkitan yang berlaku di hospital berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 50 petugas HTAR dijangkiti Covid-19

"Sehingga hari ini, seramai 72 petugas HTAR sedang menjalani Perintah Pengawasan di Rumah (HSO)," katanya.

Tambahnya, operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran telah dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala.

"Situasi semasa di HTAR dan Hospital Serdang adalah dalam keadaan yang terkawal dan perkhidmatan di hospital ini masih diteruskan seperti biasa," katanya.

Selain dua hospital berkenaan, Hospital Sungai Buloh turut melaporkan jangkitan Covid-19 dengan 15 kes, diikuti Hospital Kuala Lumpur 10 kes dan lima kes di Hospital Ampang serta empat dilaporkan di Hospital Selayang.

"Peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti," katanya.

Katanya, situasi peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti berlaku di negeri itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!