Sabah beri kelonggaran sektor pelancongan, kebudayaan
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah hari ini memberi kelonggaran membenarkan sektor pelancongan dan kebudayaan beroperasi mulai esok sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kehadiran pengunjung adalah tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal.
"Bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ia dibenarkan tetapi tanpa kehadiran penonton. Bagi sektor sukan dan rekreasi termasuk sukan air akan dibenarkan beroperasi secara berfasa pada Januari tahun hadapan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Masidi yang juga Menteri Kewangan II dan jurucakap rasmi Covid-19 Sabah berkata, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebarang aktiviti sukan dan rekreasi tidak dibenarkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membenarkan penganut Kristian mengikuti sesi upacara sembahyang pada 24 dan 25 Disember di kawasan yang dilaksanakan PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sambutan Hari Krismas hanya dibenarkan pada 25 Disember dan Rumah Terbuka serta aktiviti nyanyian karol dari rumah ke rumah di kawasan PKPB dan PKPD tidak dibenarkan.
Sementara itu, Masidi berkata, atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan PKPB di negeri ini bermula 21 hingga 31 Disember depan.
Beliau berkata, KKM menjangkakan kes positif Covid-19 akan terus meningkat berikutan saringan pekerja bukan warganegara bermula Rabu lepas. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Sektor pelancongan, kebudayaan di kawasan PKPB dibuka esok
SOP Krismas: Kunjung-mengunjung hanya pada hari pertama
PKPB di KL, Selangor, Sabah lanjut hingga 31 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!