Anjakan politik baharu PH
AGAK menarik perkembangan politik Pakatan Harapan (PH) ketika ini. Kenyataan akhbar bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Rabu lalu yang mahu PH segera membentuk anjakan politik baharu dan fokus membangunkan pakatan pembangkang yang lebih bersatu sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi pilihan raya akan datang menarik minat semua pihak. Lebih menarik, kenyataan itu menyebut tentang PH seharusnya tidak membazir masa dengan politik oportunis pihak lawan yang memperalatkan PH demi kepentingan politik peribadi.
Menurut mereka, daripada terus mengejar bayang-bayang, PH harus ketepikan bebanan lampau untuk terus berkembang dan menemui perjuangan bersama demi rakyat berdasarkan prinsip nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, antirasuah dan kemajuan ekonomi dan keadilan sosial. Begitulah secara ringkas.
Lantas, apakah yang boleh dibaca daripada kenyataan itu? Walaupun ramai yang membacanya sebagai satu tindakan pukul anak sindir menantu kepada kepimpinan PH, ada juga yang mengaitkannya sebagai kenyataan mengaku kalah PH. Reaksi itu barangkali berbeza mengikut keadaan dan posisi individu yang melihatnya. Yang pasti, dalam konteks Belanjawan 2021, pertarungannya sudah tamat tetapi perangnya nampak masih belum berakhir.
Ramai penganalisis termasuklah penulis sendiri melihat kenyataan itu di-tujukan kepada usaha berterusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memancing sokongan ahli Parlimen kerajaan, khususnya UMNO. Ia dilihat menjejaskan integriti dan reputasi PH. Penekanan tentang jumlah kerusi PH yang seimbang dengan barisan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertahan dengan tiga kerusi selepas pembentangan Belanjawan 2021 mungkin petunjuk kepada perkara itu.
Memang ada betulnya apa yang dibangkitkan itu tetapi PH tidak boleh terbuka mendesak, apatah lagi jika ia menyentuh kepimpinan tertinggi parti. Setelah apa yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan selama dua tahun dan kedudukan PH Plus yang masih kabur di Sabah, menggoncang kestabilan kepimpinan barangkali perkara terakhir yang mahu dilakukan PH.
Lantas terfikir, kalaulah semua yang dalam PH itu benar-benar mahu melakukan anjakan politik baharu, maka apakah bentuk dan caranya? Umum faham bahawa PH memang tidak perlu buang masa memikirkan lagi cara untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Lebih malang, kadang-kadang PH pula yang nampak ‘kena main’ dengan pihak lawan berbanding sebaliknya. Kes di Perak barangkali contoh terbaik. PN yang makan nangka, PH yang terkena getahnya.
Setakat ini PH memang tidak akan mampu untuk mencari orang lain mengepalai pakatan itu sebagai sebuah parti politik. Katakanlah apa pun, kebolehan dan pengaruh Anwar sebagai ketua memang masih kuat tetapi PH juga harus sedar bahawa suasana sekarang sangat berbeza dengan sebelumnya.
Tidak menolak pengkhianatan ‘Langkah Sheraton’ menjadi penyebab besar kejatuhan itu tetapi siapa yang dapat menafikan prestasi PH yang lemah adalah punca sebenar. Penolakan rakyat kepada mereka dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) jelas berkait rapat dengan masalah PH sendiri.
Dengan semua parti politik ketika ini sedar bahawa mereka berhadapan dengan pengundi yang jauh berbeza berbanding sebelumnya, naratif tertentu barangkali akan ambil masa untuk memancing undi.
Lihatlah bagaimana isu moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan UMNO-BN kembali memikat disebabkan hal itu menyentuh kepentingan semasa yang mendesak hampir keseluruhan lapisan masyarakat. Tidak timbul pun isu-isu kepartian ataupun politik, walaupun ia sebenarnya telah berjaya dipolitikkan oleh tokoh-tokoh tertentu.
Untungnya, sama ada PH mahupun PN setakat ini belum ada naratif yang benar-benar mantap untuk ditawarkan kepada pengundi. Dengan vaksin Covid-19 bakal menjengah negara pada tahun depan, apakah kita akan menyaksikan Pilihan Raya Umum ke-15 sejurus selepas kita diisytiharkan bebas Covid-19? Dan kalau betul, apakah anjakan politik baharu mampu menjamin kemenangan?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!