Dunia mudah diakses
BAGI ramai orang kurang upaya (OKU), pilihan kerja jarak jauh sangat diperlukan selama bertahun-tahun. Tempat kerja di seluruh dunia kini telah melakukan perubahan itu. Adakah cara lain di dunia juga menjadi lebih mudah diakses?
Saya merupakan seorang OKU yang jalan terhegeh-hegeh dan masih mampu bekerja tetapi tidak dipandang serius oleh mereka yang sempurna walaupun saya mempunyai pengalaman antarabangsa di Dubai selama 18 tahun.
Sekarang kita berada dalam pandemik dan secara tiba-tiba organisasi di seluruh dunia dengan jutaan kakitangan dapat beralih kepada sistem kerja jarak jauh dan melancarkan sistem dengan cepat untuk membolehkannya.
Covid-19 menunjukkan kepada orang ramai bahawa kita boleh terperangkap di rumah tanpa kesalahan sendiri dan kita masih boleh menyumbang tenaga.
Dengan berjuta-juta orang yang lockdown, ramai OKU mengalami untuk pertama kalinya bagaimana rasanya mempunyai halangan luaran yang menghalang kita daripada mengambil bahagian dalam kehidupan seharian.
Namun, walaupun negara-negara di seluruh dunia telah menetapkan dasar dan praktik untuk menjadikan ruang awam, tempat kerja serta aspek masyarakat lain lebih mudah diakses, banyak halangan masih ada bagi OKU.
Dengan OKU yang merangkumi 15 peratus daripada populasi global, aksesibiliti yang lebih besar berpotensi untuk meningkatkan kehidupan 1.3 bilion OKU. Banyak penyelesaian yang diperlukan untuk Covid-19 adalah penyelesaian yang sama, seperti kerja jarak jauh yang telah diminta oleh OKU selama bertahun-tahun.
Begitu juga, jika jurang antara kaki lima kedai lebih luas seperti untuk pengguna kerusi roda, maka setiap orang hari ini akan dapat jarak sosial. Sekiranya kaki lima lebih luas, orang dapat berjalan melewati satu sama lain tanpa melanggar peraturan.
Oleh sebab persekitaran kerja dengan cepat menyesuaikan diri untuk mengekang penyebaran virus telah menjadi jelas bahawa masyarakat dapat menangani ketidaksamaan yang dihadapi oleh orang OKU.
Dengan banyak pertubuhan dan perniagaan ditutup, sekarang boleh menjadi masa yang tepat untuk menjadikannya lebih mudah diakses.
Mendengar
Kita bimbang apa yang akan terjadi adalah banyak peraturan akan dilembutkan setelah pandemik. Perniagaan akan mengatakan tidak mampu menjadi lebih mudah diakses sebelumnya dan pasti tidak mampu sekarang kerana kehilangan begitu banyak wang semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Satu bahagian penting dalam mengubah sistem adalah mendengar lebih banyak suara iaitu satu bilion OKU di seluruh dunia hari ini tidak mempunyai akses kepada teknologi bantu yang diperlukan seperti kerusi roda, alat bantu dengar, tongkat atau alat mudah alih yang boleh diakses.
Salah satu cara untuk memastikan masyarakat terus menjadi lebih mudah diakses adalah dengan menggabungkan suara OKU dalam reka bentuk dan pembangunan dasar, teknologi dan prasarana.
Namun, dengan wabak Covid-19, ada harapan pemimpin dan kerajaan mungkin memikirkan lebih banyak tentang suara OKU.
OKU tidak hanya rentan, malah sangat berharga. Jangan biarkan dengan pandemik kembali dan menghidupkan naratif lama yang mengerikan iaitu mengenai 'OKU miskin’, 'orang lemah miskin’ dan 'orang sakit miskin’. Tidak, kita mungkin mempunyai kecacatan tetapi mempunyai kemampuan, potensi, sumber daya, otak, dan sumbangan berharga untuk diberikan.
Sekarang adalah saat untuk menghilangkan halangan bagi mendengar keperluan OKU. Hasilnya mungkin sistem yang berpotensi lebih responsif pada masa krisis dan yang lebih baik untuk semua orang.
Kita berharap ada orang yang sempurna membaca atau mendengar rintihan ini agar OKU diberi lebih banyak peluang dan akses!
* Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!