Status OKU penglihatan bukan penghalang jadi juruwang
KUALA PILAH - Meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan serta cacat anggota tangan dan kaki, namun anak sulung daripada 11 beradik ini tidak pernah menjadikan kekurangan itu untuk bekerja seperti orang normal.
Noor Ashikin Borhanuddin, 43, berasal dari Gemencheh merupakan salah seorang penghuni di Pusat Jagaan Bengkel Seri Perkasa,Johol di sini bekerja sebagai juruwang di kedai runcit milik pusat tersebut sejak 10 tahun lalu.
"Pada awalnya agak sukar untuk saya menguruskan kedai ini tambahan pula sebagai juruwang kerana keadaan fizikal saya tidak seperti orang normal selain mempunyai perasaan rendah diri.
"Bagaimana pun, lama- kelamaan saya mula menyesuaikan diri apabila mendapat sokongan daripada rakan-rakan penghuni terutamanya Kak Ina ( Hasliana Hassan) iaitu pengurus pusat ini untuk meneruskan kerjaya ini," katanya ketika ditemui di pusat tersebut pada Jumaat.
Katanya, setiap urusan jual beli akan dicatat dalam lembaran khas menggunakan tulisan Braille malahan pengurusan kedai turut membekalkan kalkulator khas bagi memudahkannya membuat pengiraan.
"Untuk membezakan nilai wang, saya akan mengukur dan sentuh duit yang diterima. Sebagai contoh saiz duit RM5 lebih kecil berbanding RM10.
"Selain saya, tiga lagi rakan penghuni di sini turut membantu menguruskan kedai antaranya melabel barangan jualan, mengemas kedai dan memeriksa stok jualan," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui pernah ditipu pelanggan yang menghulurkan mata wang asing seakan RM50 dan ada barangan yang dicuri.
"Saya akui cukup terkesan dengan kejadian itu dan rasa sangat sedih serta kecewa...tetapi saya jadikan pengalaman itu sebagai satu cabaran untuk lebih berani dan berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.
"Jadi saya berharap mereka yang senasib dengan saya tidak mudah putus asa dan merendah diri kerana setiap orang mempunyai pilihan dalam menentukan kehidupan masing-masing selain yakin dan percaya dengan ALLAH SWT," katanya yang juga penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi elaun pekerja cacat sebanyak RM400 sebulan.
Sinar Harian difahamkan, Noor Ashikin mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur sebelum menetap di pusat jagaan ini pada tahun 2008.
Selain itu, dia juga pernah muncul selaku johan dalam pertandingan majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan kategori cacat penglihatan dan mendapat saguhati pada peringkat kebangsaan pada tahun 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!