Warga kerja KDEBWM bantu golongan terjejas akibat Covid-19

Pihak KDEBWM mengagihkan sebanyak 145 unit kotak infaq berupa barangan keperluan asas bagi membantu mereka yang terjejas dalam pandemik Covid-19 ini.
Pihak KDEBWM mengagihkan sebanyak 145 unit kotak infaq berupa barangan keperluan asas bagi membantu mereka yang terjejas dalam pandemik Covid-19 ini.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengagihkan sebanyak 145 unit kotak infak berupa barangan keperluan asas bagi membantu mereka yang terjejas ketika negara berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, bantuan yang disalurkan itu merupakan hasil kutipan dana yang disumbangkan oleh warga kerja KDEBWM dan sehingga kini sebanyak 145 penerima telah dikenal pasti serta layak menerima sumbangan terbabit.

“Sumbangan diagihkan kepada golongan asnaf, miskin bandar, orang kurang upaya (OKU), golongan terjejas pendapatan dan yang memerlukan.

“Untuk sumbangan ini, pihak KDEBWM telah bekerjasama dengan Syarikat Bidara Mills Sdn Bhd dalam menyediakan 145 unit kotak infak yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula pasir, sardin, susu pekat manis dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KDEBWM di Shah Alam pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ramli berkata, sumbangan yang dijalankan ini merupakan kali keempat ia diadakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

Ramli (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan asas yang terdapat dalam kotak infak yang disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
Ramli (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan asas yang terdapat dalam kotak infak yang disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul pada penganjuran kali ke-4 itu berjumlah RM10,800 dengan melibatkan warga kerja KDEBWM berbanding RM45,386 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas usaha yang dilakukan pihaknya dalam membantu golongan memerlukan, Ramli berkata, pihaknya terpanggil mewujudkan kutipan Tabung Sumbangan Covid-19 bertujuan bagi meringankan beban terutamanya mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kita lihat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hampir keseluruhan daerah di Selangor terkesan dan ramai dalam kalangan mereka terjejas pendapatan.

“Banyak yang terkesan apabila ada dalam kalangan mereka gaji dipotong, hilang pekerjaan sehingga menyebabkan kehilangan punca pencarian.

“Jadi dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan kos barangan keperluan dapur mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!