Belanjawan Perak 2021 lulus sebulat suara
IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat meluluskan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM1.215 bilion secara sebulat suara selepas dibentang dan dibahas selama dua hari.
Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2021 itu turut mencipta sejarah apabila mendapat sokongan seramai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa sebarang bantahan.
Sepanjang perbahasan selama sehari pada Khamis, seramai 12 ADUN terdiri daripada enam ADUN yang menyokong kerajaan dan enam ADUN pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan berkenaan.
Lebih menarik, sesi perbahasan tersebut disifatkan sebagai paling aman dalam sejarah dua dekad pembentangan belanjawan di negeri ini.
Pada Khamis, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan Belanjawan Perak 2021 dengan menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN-ADUN ketika sesi perbahasan.
Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.
Seramai 59 ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.
Mohammad Zahir kemudian mengumumkan Belanjawan Perak 2021 diluluskan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga.
Ketika sesi penggulungan, Saarani mengharapkan agar persefahaman semua ADUN menerusi sokongan belanjawan itu akan menjadi titik mula kepada kematangan berpolitik.
“Kita boleh membuktikan bahawa wakil-wakil rakyat mampu membina batas-batas dalam berpolitik dengan meletakkan kepentingan rakyat merentasi garis politik kepartian.
“Percayalah, rakyat akan lebih menyanjung dan menghormati kita jika kita meletakkan niat yang baik, terbuka, jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan sebulat suara ADUN menerusi usul undi percaya yang dibuat terhadap kepimpinannya sebagai Menteri Besar Perak pada hari pertama Sidang DUN.
Menyedari sokongan yang diberikan itu, Saarani memberi jaminan bahawa kerajaan negeri yang dipimpin perlu sentiasa berlapang dada dalam menerima teguran dan kritikan.
Katanya, dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh semua wakil rakyat ketika mengemukakan pandangan dan buah fikiran menerusi perbahasan belanjawan itu akan mengukuhkan proses semak dan imbang, sekali gus menyuburkan lagi proses demokrasi di negeri ini.
Pada pembentangan Rabu lalu, Saarani mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2021 kepada RM1.215 bilion berbanding RM1.098 bilion pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM785.1 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus, manakala RM430 juta juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Bajet 2021 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM154 juta, sekali gus merupakan tertinggi dalam sejarah belanjawan Perak.
Belanjawan yang bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ itu memberi fokus untuk menjana pertumbuhan ekonomi seimbang, menitikberatkan keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat untuk menikmati kehidupan yang berkualiti.
Selain itu, belanjawan itu bermatlamat meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar secara efektif serta memacu pemodenan serta pendigitalan institusi bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan awam yang bersih dan terbaik di seluruh Perak.
Pembentangan bajet paling tenang
Pembentangan Belanjawan Negeri 2021 Perak kali ini adalah paling tenang apabila mendapat sokongan tanpa sebarang bantahan daripada semua 59 ADUN.
Saarani berkata, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing memberikan komitmen tinggi dengan membahaskan perkara-perkara yang menunjukkan kematangan sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, keadaan itu bertepatan dengan inti pati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya pemimpin-pemimpin politik di negeri ini menghentikan budaya politiking dengan menjuruskan pemikiran ke arah pembangunan negeri serta kebajikan rakyat.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat dari kedua-dua pihak kerana dalam tempoh ini menunjukkan kematangan politik yang tinggi.
“Saya sudah lima penggal di Dewan Negeri, terasa inilah persidangan paling tenang dan saya sangat teruja dengan apa yang berlaku dalam tempoh persidangan ini.
“Paling penting rakyat di luar sana ingin melihat komitmen tinggi wakil rakyat yang mereka pilih berbanding keresahan dan kegelisahan menantikan tempoh pengundian.
“Di Dewan Rakyat menang tipis (undi Belanjawan) tetapi di Perak kita melakukan sebaliknya. Kita mendapat sokongan 100 peratus, sebulat suara daripada 59 ADUN yang telah hadir,” katanya.
Saarani berkata, belanjawan negeri kali ini juga adalah paling singkat dipersetujui untuk diluluskan apabila hanya mengambil masa sehari untuk perbahasan berbanding tiga hari sepertimana biasa.
Menurutnya, semua 12 wakil rakyat iaitu enam di pihak kerajaan dan enam ADUN pembangkang yang mengambil bahagian dalam perbahasan berjaya memberi pengkhususan tinggi membawa dan membincangkan mengenai masalah di kawasan masing-masing.
Peruntukan ADUN disalur ikut prosedur
Perbelanjaan peruntukan RM200,000 sepertimana diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2021 kepada setiap ADUN di Perak akan disalurkan mengikut tatacara kewangan yang ditetapkan.
Saarani berkata, setiap wakil rakyat dikehendaki membuktikan peruntukan itu dibelanjakan secara sah.
“Biasanya Pegawai Kewangan akan mengeluarkan tatacara pengurusan kewangan dan terdapat dua kategori bagi urusan pengagihan peruntukan itu.
“Satu daripadanya ialah wang dimasukkan melalui akaun pusat khidmat. Dalam hal ini, wakil rakyat hendaklah membelanjakannya secara bertanggungjawab. Perlu ada permohonan dan kelulusan, bukti cek dikeluarkan serta baucar ditandatangani secara sah.
“Itu tanggungjawab sebab apabila audit bertanya, bermakna semua wakil rakyat ini boleh buktikan wang itu dibelanjakan dengan cara yang betul,” katanya
Beliau berkata, satu lagi tatacara adalah melalui wang yang disimpan di Unit Perancang Ekonomi (UPEN) bagi tujuan sesuatu pembangunan.
Menurutnya, permohonan peruntukan kategori itu perlu dimaklumkan secara bertulis kepada UPEN sebelum diluluskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!