Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor masih belum meriah

Keadaan di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor yang tidak semeriah dulu.
Keadaan di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor yang tidak semeriah dulu.
A
A
A

TUMPAT - Belum selesai kebimbangan mengenai isu parkir berbayar, peniaga di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor di sini meluahkan pula keluh kesah mereka apabila kawasan membeli belah tersohor itu kurang pengunjung.

Meskipun sudah lapan hari tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, namun kawasan perniagaan yang wujud sejak 32 tahun itu tidak semeriah biasa.

Seorang peniaga, Rozimah Mat Daud, 45, berkata, sepanjang 25 tahun berniaga di sini situasi yang dihadapi kini dengan kekurangan pengunjung adalah pengalaman paling memeritkan buatnya.

Menurutnya, berikutan pandemik Covid-19 orang ramai terutamanya penduduk luar Kelantan masih takut untuk datang ke sini dan keadaan ini sudah tentunya memberi kesan kepada peniaga.

ROZIMAH
ROZIMAH

“Sebelum PKPB lagi orang ramai tidak datang ke sini. Kalau ingatkan memang sedih apabila seminggu sebelum PKPB pun saya tidak menjual sehelai baju pun.

“Kalau dulu hendak dapat RM1,000 sehari tak ‘sakit’ (susah), sekarang ini hendak dapat RM50 sehari pun kena ‘mitah’ (kena tarik seorang demi seorang tangan) pengunjung masuk kedai. Itupun belum tentu mereka beli,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian di zon tersebut Jumaat (hujung minggu) mendapati lebih kurang 50 pengunjung yang datang berbanding ratusan orang ramai mengunjungi kawasan terbabit pada hujung minggu.

Artikel Berkaitan:

Kelihatan juga di lot-lot kedai terdapat seorang dua pengunjung memilih barangan dan kebanyakannya premis tiada pelanggan yang hanya terdapat penjual sedang berehat.

Sementara itu, seorang lagi penjual, Surina Din, 55, yang sudah 30 tahun berniaga memberitahu, hasil jualan pasca-Covid-19 amat merudum.

“Bila fikirkan keadaan sekarang ini dengan orang yang tidak ramai seperti biasa memanglah kami mengeluh. Ditambah pula fikirkan pasal pihak berkuasa tempatan hendak laksanakan sistem parkir berbayar lagilah kurang pengunjung,” katanya.

Shamsul Ghazali, 45, yang sudah berniaga selama lapan tahun di situ berkata, dia terpaksa menurunkan harga barangan dan kadangkala menjual mengikut tawaran yang dimahukan pembeli tetapi asalkan tidak melepasi harga modal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!