APM selamatkan anak penyu karah di Pantai Teluk Ketapang
KUALA NERUS - Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyelamatkan seekor anak penyu karah berusia kira-kira lima tahun yang ditemukan terdampar dalam keadaan lemah di Pantai Teluk Ketapang di sini pada Jumaat.
Pegawai APM, Leftenan Muda (PA), Nurul Asjad Syuhirah Ahmad Bakhtiar berkata, reptilia yang dianggarkan seberat lima kilogram itu diselamatkan sepasukan anggota selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.15 petang.
"Penyu berkenaan cuba dibawa kembali ke pantai sebaik anggota tiba di lokasi penemuan, namun gagal kerana keadaannya yang terlalu lemah.
“Penyu itu tidak mampu bergerak walaupun sudah diletakkan di kawasan air di pantai mungkin ia sakit dan masih lemah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, penyu berkenaan akan diserahkan kepada pihak Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Cawangan Mamalia Marin FRI Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad meminta orang ramai segera melaporkan kepada pihak APM atau Jabatan Perikanan jika ternampak mana-mana kejadian penyu terdampar di pantai negeri ini.
"Kita harap orang ramai dapat memberikan kerjasama melaporkan sebarang penemuan reptilia ini terutama pada musim tengkujuh kerana banyak kes penyu terdampar dilaporkan berlaku di sepanjang pantai Terengganu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!