Selamat dari masalah hakisan, kini berdepan banjir
KEMAMAN - “Dahulu, setiap kali musim tengkujuh tiba akan diuji masalah hakisan dan ribut petir kerana rumah terletak di tepi pantai Kemasik, namun kini meskipun telah berpindah berdepan pula dengan masalah banjir.”
Demikian kata salah seorang mangsa banjir Norizan Salim, 53, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Baru Kemasik di sini.
Beliau adalah antara 580 mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kemasik setelah rumahnya dinaiki air paras lutut bermula jam 10 pagi pada Jumaat.
Norizan yang tinggal bersama suami, Ismail Mohd, 61, dan tiga cucu menyifatkan banjir kali ini adalah yang paling teruk pernah dialami sejak enam tahun berpindah ke kawasan PPRT tersebut.
"Dahulu, ketika tinggal di tepi pantai, memang tak boleh tidur malam sebab deruan ombak sangat kuat dan pernah juga beberapa kali menyaksikan atap rumah tercabut diterbangkan angin.
"Ingatkan setelah berpindah, selamatlah kami dari sebarang masalah pada musim tengkujuh. Tapi jangkaan itu meleset sama sekali, kerana kawasan ini pula dilanda banjir. Apa pun kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya, tiada lagi risiko rumah hilang ditelan ombak," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini pada Sabtu.
Seorang lagi penduduk di PPRT tersebut, Aziz Ismail, 60, pula risaukan keadaan rumahnya yang terletak di kawasan agak rendah kerana banjir kali ini lebih tinggi iaitu mencecah paras pinggang dewasa berbanding tahun-tahun sebelum ini air naik hanya sekadar di paras lututnya sahaja.
"Air naik memang cepat kali ni, dalam 15 minit je dah penuh dalam rumah, jadi isteri saya Zaipah Rani, 59, terpaksa lari ke rumah jiran di lorong depan sebelum diselamatkan anggota bomba untuk ke pusat pemindahan.
"Sekarang ni saya risaukan barang dalam rumah. Niat balik sekejap nak kemas kalau dah surut, tapi air tinggi lagi. Mahu cuba redah pun takut juga sebab semalam penduduk digemparkan dengan penemuan ular sawa di kawasan berdekatan," katanya yang turut dipindahkan ke PPRT itu ketika proses pemindahan penduduk dari kawasan pantai enam tahun lalu.
Kebimbangan sama turut diluahkan oleh seorang lagi penduduk iaitu Kasmah Jusoh, 55, kerana banjir kali ini agak lambat surut.
"Pada 2 Disember lalu, kami berpindah ke PPS selama tiga hari kerana banjir surut sekejap sahaja... tapi kali ni paras air masih sama. Saya tak sempat selamatkan apa pun barang di rumah.
"Kalau air surut, mudahlah saya nak bersihkan sekarang dan mungkin masih ada barangan yang boleh diselamatkan. Tapi nampaknya, hanya tinggal harapan, kena fikirkan sumber kewangan untuk beli barang lain seperti mesin basuh dan peti sejuk kalau rosak teruk kali ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!