Dakwa Kerajaan PH tidak prihatin

Mohd Akmal
Mohd Akmal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dijenamakan semula oleh dari idea asal Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dilihat tidak lagi mempedulikan golongan bujang yang bependapatan RM2,000 dan ke bawah setiap bulan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Akmal Melan berkata, jika dahulu (BR1M) golongan bujang mendapat bantuan sehingga RM450.

"Namun kini, Kerajaan PH beranggapan golongan bujang tidak ada yang miskin dan tidak perlu bantuan malah menuduh 'Melayu pemalas'.

"Rata-rata anak muda mengeluh di media sosial kerana tidak lagi menerima bantuan seperti tahun-tahun lepas dan mereka mengakui mengundi PH pada pilihan raya yang lepas.

"Anak muda mengharapkan PTPTN yang dimansuhkan namun BR1M untuk golongan bujang yang dimansuhkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Akmal berkata, dengan keadaan ekonomi sekarang yang memberi tekanan hidup kepada rakyat, kerajaan pula terus menekan golongan anak muda dengan pemansuhan bantuan tersebut.

"Kalau dilihat dari sudut positif, bantuan untuk golongan bujang yang diberikan kerajaan BN dahulu dapat membantu menaikkan ekonomi anak muda di Malaysia.

"Ada di antara anak muda yang menggunakan duit tersebut untuk menjadikan modal perniagaan secara kecil-kecilan dan ada juga yang gunakan duit tersebut untuk meningkatkan kemahiran diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rentetan bantuan tersebut, ramai anak muda yang mampu menjana pendapatan dari perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan dengan modal melalui bantuan tersebut.

"Dari pendapatan mereka RM2,000 sebulan ditambah dengan perniagaan sambilan dapat menjadikan pendapatan mereka RM3,000 sebulan.

"Setiap keputusan yang Kerajaan PH laksanakan haruslah dilihat secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua golongan rakyat di Malaysia.

"Setelah gagal menunaikan janji-janji manis bantuan sedia ada pula dihapuskan.Jadilah kerajaan yang praktikal membantu rakyat bukan sekadar pandai bercakap dan pandai bermain 'play station' di pejabat," katanya.

Ujarnya lagi, tidak semua anak muda bernasib baik untuk menjadi menteri di usia muda dan mereka juga bukan anak muda yang pemalas kerana tidak ada seorang pun yang merancang untuk gagal di dalam hidup ini.

"Kerajaan PH haruslah berfikir dengan lebih panjang dan meluas sebelum membuat keputusan yang akhirnya akan membebankan rakyat terutamanya golongan muda," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!