Pelakon turut ceburi penternakan di bawah Program Agropreneur Muda
RAUB - [DIKEMASKINI] Pelakon filem Polis Evo, Amirul Affendi Mohd Mawardi, 35, antara 77 penerima Geran Agropreneur Muda di bawah Program Jelajah Agropreneur Siri Ke-9, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
Beliau dipilih menerima geran tersebut di atas kejayaannya sebagai penternak muda yang kini memelihara 28 ekor kerbau di Temerloh dekat sini.
Amirul Affendi mewakili 10 agropreneur muda yang lain menerima geran berjumlah RM195,000 berbentuk bantuan perbelanjaan peralatan penternakan, infrastruktur dan lain-lain sekitar RM19,500 seorang.
"Saya menyertai program ini bagi menambah baik kandang dan pagar ternakan. Bermula lima tahun lepas dengan hanya dua ekor kerbau, kini kesemuanya sudah 28 ekor.
"Kalau ikutkan, bidang ini dimulakan oleh ayah saya. Selepas pencen, ayah saya banyak habiskan masa di kampung. Jadi, kami bersama-sama usahakannya.
"Dulu ada kambing sebanyak 40 ekor tetapi ada yang kena makan ular sawa, jadi kami jual dan bela kerbau," katanya ketika ditemui sempena Program Penyampaian Geran tersebut di Jalan Lipis Benta di sini pada Sabtu.
Sementara itu, pengusaha nanas MD2 dari Temerloh, Mohd Sazli Ramli, 38, mewakili 10 yang lain turut menerima geran bantuan dari Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berjumlah keseluruhan RM200,000 iaitu RM20,000 seorang.
"Saya menerima geran bagi membantu dari segi pembangunan infrastruktur untuk memajukan ladang nenas saya di Temerloh. Lebih kurang 30,000 pokok nenas secara keseluruhannya. Saya lihat sekarang, bidang pertanian banyak potensi. Saya sudah lama duduk di bandar dan tiba masa saya kembali ke kampung ambil peluang sahut seruan kerajaan menghasilkan makananuntuk rakyat kita sendiri," kata bekas pekerja swasta itu.
Bantuan yang diterima berbentuk geran bagi membeli peralatan pertanian dan fertigasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!