Sabah mahu tingkat hubungan dengan China dalam teknologi pertanian
KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah berhasrat meningkatkan hubungan kerja dengan kerajaan China kerana negeri ini mahu membangunkan semula ekonomi dan menyusun semula industri pertaniannya.
Berucap semasa lawatan ke pejabat Konsulat Jeneral China di sini pada Sabtu ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, pada masa ini, Sabah perlu bangkit dari segi ekonomi setelah melalui tahun suram akibat pandemik Covid-19.
“Sabah adalah sebuah negeri pertanian dan kami berusaha untuk meningkatkan industri ini ke tahap yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi 5G. China merupakan negara terkemuka dalam bidang teknologi, mencatat kejayaan demi kejayaan, mengatasi negara-negara lain di dunia.
“Oleh itu, sebagai timbalan ketua menteri, saya berharap China akan membantu Sabah dalam mencapai cita-citanya dan akhirnya meningkatkan taraf hidup kami ke tahap yang kami inginkan," katanya.
Jeffrey berkata kerajaan Sabah berterima kasih atas sokongan berterusan daripada kerajaan China melalui konsulatnya di Kota Kinabalu dan berharap kerjasama yang lebih erat di masa depan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Konsul Jeneral Liang Caide berkata kesejahteraan rakyat Sabah selalu menjadi keutamaan Konsulat Jeneral.
"Terutama dalam tempoh ini, Konsulat Jenderal bersedia memberikan bantuan sesuai dengan kemampuannya, untuk menyokong rakyat Sabah dalam mengatasi kesulitan," tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!