Kapal tunda dari Iran masuk ke terminal Butterworth kerana kecemasan
BUTTERWORTH - Sebuah kapal tunda dari Iran dengan tiga anak kapal disahkan masuk ke perairan negeri ini selepas seorang daripada anak kapal mengalami masalah kesihatan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.
Sumber Penang Port Sdn Bhd (PPSB) ketika dihubungi Bernama berkata, masalah kapal MV Fire Man Zanzibar itu bermula dalam perjalanan dari Filipina ke Dubai setelah kehabisan minyak, sebelum ia ditunda oleh sebuah lagi kapal yang mengalami kerosakan dan bersauh di perairan Johor pada 11 Disember lepas.
Pihak berkuasa negara mengetahui akan keberadaan kapal itu di perairan negara serta memantau dan cuba memberi bantuan.
"Kapal itu kemudian singgah di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) atas alasan kecemasan apabila seorang daripada anak kapal itu jatuh sakit.
"Ketiga-tiga kru berusia dalam lingkungan 30-an juga memaklumkan kehabisan minyak serta duit, mereka juga memberitahu gagal menghubungi syarikat kapal itu di Iran," katanya pada malam Sabtu.
Sebuah portal berita pada Sabtu melaporkan Jabatan Marin sedang menyiasat bagaimana kapal tunda Iran itu memasuki secara haram perairan Malaysia baru-baru ini dan bersauh tanpa pengetahuan pihak berkuasa di kawasan operasi Pulau Pinang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!