Demokrasi lima tahun sekali?

A
A
A

MINGGU lalu saya menulis tentang ‘Reset Malaysia’. Saya menggesa anjakan paradigma keseluruhan rakyat Malaysia bagi membangunkan negara yang tercinta.

Kali ini berlarutan daripada nukilan minggu lalu, apabila kita meneliti prinsip-prinsip demokrasi, kita akan mendapati kegagalan kita melaksanakan demokrasi itu sendiri. Kita juga gagal menghayati falsafah demokrasi.

Pada asasnya, demokrasi itu adalah satu corak pemerintahan daripada rakyat untuk rakyat. Namun, realitinya kini secara amnya rakyat hanya meraikan pesta demokrasi itu lima tahun sekali iaitu apabila berlaku pilihan raya.

Hanya apabila pilihan raya diadakan, barulah rakyat dirujuk untuk memberi mandat. Sangat jarang berlaku di Malaysia, referendum diadakan bagi mengetahui kehendak rakyat dalam sesuatu isu. Ia disebabkan setelah pemenang pilihan raya diumumkan, wakil rakyat yang terpilih tidak lagi merujuk kepada pengundi mereka semasa membahaskan sesuatu isu.

Wakil rakyat dilihat lebih terikat dengan arahan parti dalam membahaskan sesuatu isu. Walaupun pengundi mereka berpendirian berbeza dengan parti, namun wakil rakyat tidak mempunyai obligasi menurut kehendak pengundi mereka. Mandat lima tahun diberikan itu seperti sangat muktamad dan bersifat total.

Wakil rakyat yang merupakan pihak legislatif pada peringkat negeri dan Persekutuan pula dibebankan dengan pelbagai fungsi lain sehingga ia memberi kesan kehadiran mereka di dewan perundangan bagi membahaskan sesuatu rang undang-undang. Hal itu jelas telah menghakis peranan efektif wakil-wakil rakyat.

Para legislatif seharusnya menumpukan perhatian kepada penggubalan undang-undang dan dibebaskan daripada bebanan lain. Saya juga mengesyorkan pengundi mengadakan lebih kerap perjumpaan dengan wakil rakyat dan berbincang tentang sesuatu isu yang bakal dibahaskan. Pengundi seharusnya memandu arah wakil rakyat, bukan wakil rakyat yang memberi arahan kepada pengundi.

Hubungan lebih akrab mesti disemai kerana wakil rakyat membawa suara rakyat. Barulah demokrasi yang didamba daripada rakyat untuk rakyat itu dapat direalisasikan. Sayangnya hal demikian tidak berlaku, mungkin kerana sudah lama wakil rakyat dilayan seperti ‘tuan besar’. Hatta, ramai yang berpandangan menjadi wakil rakyat merupakan batu loncatan untuk mengumpul kekayaan.

Artikel Berkaitan:

Anjakan paradigma untuk reset mentaliti berkaitan fungsi wakil rakyat sangat perlu demi untuk memberi mereka peluang benar-benar mewakili rakyat. Bukan semua wakil rakyat meletakkan material di hadapan mereka, namun itulah persepsi masyarakat kini yang mahukan pembaharuan inovatif berlaku di Malaysia.

Jika kita masih mengekalkan status quo sekarang, saya khuatir Malaysia akan ketinggalan dalam pelbagai bidang, malah krisis-krisis yang sedang kita hadapi akan terus berlarutan.

Agenda reset Malaysia perlu diangkat, tidak lain tidak bukan demi kesejahteraan rakyat dan negara. Sistem demokrasi walaupun tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan secara spesifik tetapi ia sudah diamalkan sejak sekian lama dan diterima pakai. Namun, mungkin kita gagal memaknai tafsiran demokrasi itu sendiri kerana terlalu berlebihan bergantung harap kepada ahli politik.

Ahli politik, pimpinan NGO, agamawan, pengundi, masyarakat dan semua warganegara perlu berjalan seiring dengan melaksanakan fungsi masing-masing agar dapat melipatgandakan kecemerlangan negara.

Janganlah lagi ada wakil rakyat yang hanya merujuk kepada pengundi lima tahun sekali. Jangan lagi ada pengundi mendiamkan diri membiarkan wakil rakyat mewakili kita dalam isu yang tidak kita persetujui.

Hubungi wakil rakyat anda untuk nyatakan pendirian anda. Itulah hak anda. Demokrasi bukan hanya lima tahun sekali tetapi ia mesti meresapi dalam kehidupan rakyat.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!