[VIDEO] Menangani isu pendidikan 'generasi yang tersisih'

Dr Maszlee
Dr Maszlee
A
A
A

SESI persekolahan tahun 2020 yang hanya berlangsung selama empat bulan akibat pandemik Covid-19 ternyata meresahkan Dr Maszlee Malik yang telah menghabiskan sebahagian besar usianya untuk dunia pendidikan.

Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, kebimbangan terbesar beliau ialah kemungkinan munculnya kumpulan murid tercicir di peringkat asas disebabkan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka khususnya di sekolah rendah.

Menggelar kumpulan tersebut sebagai ‘generasi tersisih’, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu baru-baru ini melancarkan kempen pendidikan #UntukMalaysia bagi membuka peluang kepada seberapa ramai pemegang taruh untuk memberi cadangan dan mencari solusi terbaik berhubung pelbagai isu pendidikan di Malaysia.

Selain kerajaan, pihak rakyat juga kena melakukan sesuatu seperti inisiatif berkonsepkan daripada rakyat kepada rakyat, kata beliau.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Ahad, Raiham Mohd Sanusi bersama Dr Maszlee di pejabat beliau di Cyberjaya, Rabu lalu.

SINAR AHAD: Yang Berhormat (YB) menyebut tentang ‘the lost generation’ dalam perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Selasa lalu. Boleh YB perincikan maksudnya dalam konteks pendidikan di Malaysia?

DR MASZLEE: Isu generasi tersisih atau ‘lost generation’ ini sebenarnya satu isu besar kerana ia akan menentukan kelangsungan masa depan negara. Siapakah generasi tersisih ini? Mereka ialah anak-anak yang pada 2020 berada di prasekolah, yang akan masuk Tahun Satu pada 2021 atau anak-anak Tahun Satu yang akan masuk Tahun Dua nanti.

Kenapa dipanggil ‘lost generation’? Kerana kedua-dua golongan ini tidak bersekolah, tidak mendapat pendidikan langsung secara bersemuka dengan guru-guru mereka selama hampir setahun. Walhal kedua-dua peringkat ini merupakan peringkat asas untuk minda mereka ditanam dan diperkuat dengan kemahiran asas pendidikan iaitu mendengar sambil memahami, membaca, menulis dan mengira.

Artikel Berkaitan:

Apabila selama hampir setahun tidak pergi ke sekolah dan mereka tidak didedahkan dengan rutin persekolahan setiap hari, pada tahun hadapan mereka akan menghadapi kesukaran untuk ke sekolah semula.

Ini disebabkan selama hampir setahun ini mereka tidak ke sekolah dan tidak berdisiplin untuk pergi ke sekolah. Keduanya, saya kira ini yang paling membahayakan kita iaitu kadar buta huruf dalam kalangan anak-anak daripada kedua-dua generasi ini akan meningkat. Kalau kita ikut tahun biasa sama ada murid prasekolah atau Tahun Satu, mereka akan didedahkan dengan kemahiran asas ini. Namun, untuk kedua-dua generasi ini, mereka akan ketinggalan satu tahun persekolahan.

Keadaan ini akan berterusan iaitu murid Tahun Satu akan pergi ke Tahun Dua, murid prasekolah pula akan pergi ke Tahun Satu. Mereka ini selepas 10 tahun akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi apakah yang akan berlaku kepada mereka?

Inilah yang kita lihat tidak dibincangkan secara meluas dalam masyarakat bagi mencari solusi secara kolektif dengan semua pemegang taruh dan pakar-pakar untuk menghadapi masalah ini.

Mengapakah YB benar-benar mengambil berat terhadap isu murid cicir ini?

Sesiapa sahaja yang mempunyai jiwa pendidik, jiwa ibu bapa dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab berhak untuk berasa gusar dan risau terhadap isu ‘lost generation’ berserta penyelesaiannya. Kalau anak-anak kepada keluarga T20 atau sebahagian M40 tak apa lagi, tapi bayangkan anak-anak orang asli.

Bayangkan anak-anak keluarga miskin kota yang duduk di rumah Projek Perumahan Rakyat, bayangkan anak-anak kepada ibu bapa yang buta huruf, bayangkan anak-anak kepada ibu bapa yang terpaksa keluar membanting tulang dari pagi hingga malam untuk mencari sesuap nasi.

Bayangkan anak-anak yang berada di kampung yang tidak mempunyai ibu bapa yang boleh mengajar mereka di rumah atau tidak mempunyai kemampuan untuk menghantar mereka ke kelas tuisyen ataupun memanggil cikgu tuisyen datang ke rumah, apatah lagi mereka yang tidak memiliki peranti yang cukup untuk anak-anak ini belajar secara dalam talian.

Begitu juga kita mesti ingat pada tahap paling asas ini, pembelajaran dalam talian tidak akan dapat menggantikan pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid. Inilah yang kita risaukan. Kenapa saya suarakan? Kerana ini merupakan suara hati ibu bapa, guru, pendidik dan semua rakyat yang sayangkan negara ini.

Selain generasi tersisih dan murid cicir, ada lagi satu golongan pelajar yang terjejas sewaktu pandemik iaitu orang kelainan upaya (OKU). Apakah dilema mereka?

Isu golongan OKU ini sentiasa bermain di bibir saya iaitu sebelum saya masuk politik lagi. Selepas saya masuk politik dan menjadi menteri, kemudian tidak menjadi menteri lagi, saya sentiasa membicarakan isu OKU kerana mereka dikira sebagai masyarakat rentan dan juga masyarakat terpinggir. Kenapa?

Kerana isu ini bukan sahaja melibatkan anak-anak tetapi juga ibu bapa. Apabila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat, bayangkan murid berkeperluan khas ini terpaksa duduk di rumah. Bukan semua ibu bapa mempunyai kepakaran. Bukan semua ibu bapa mempunyai kesabaran. Bukan semua ibu bapa mempunyai ilmu untuk berhadapan dengan anak-anak mereka, mendidik anak-anak mereka apatah lagi untuk meningkatkan kemampuan, kemahiran dan pengetahuan anak-anak berkeperluan khas ini.

Tetapi isu ini juga tidak dibincangkan secara serius dan tidak ada solusi tuntas untuk mereka. Bukan sekadar murid malah ibu bapa mereka juga bergelut untuk mendidik anak-anak ini sewaktu PKP apabila sekolah ditutup.

Sebab itu saya lihat isu ini merupakan isu negara. Isu ini isu rakyat yang rakyat ternanti-nantikan apakah solusinya. Isu ini bukan isu politik tetapi isu masa depan negara, isu kebajikan semua rakyat, isu bagi mereka yang mempunyai manusiawi di dalam sanubari.

Dr Maszlee
Dr Maszlee

Unesco melaporkan perbelanjaan pendidikan isi rumah menurun sebanyak lebih 80 peratus sejak Covid-19 melanda. YB pernah suarakan teori kesenjangan ini di mana semakin sempit poket, semakin terjejas hal pendidikan. Apa komen YB?

Bagi anak-anak daripada golongan rentan dan terpinggir, ada dalam kalangan mereka menganggap sekolah merupakan satu harapan iaitu satu tempat yang memberikan mereka bukan sahaja pendidikan tetapi juga kebajikan. Ada antara mereka yang mendapat manfaat rancangan makanan tambahan, makanan yang lebih berkhasiat. Ada yang mendapat ruang untuk belajar, ruang untuk mereka berekspresi dan ruang untuk mereka merasakan diri mereka dihargai. Apabila sekolah ditutup, anak-anak ini terperap di rumah. Ada antara mereka yang menghadapi masalah keluarga di rumah, ada rumah yang terlalu sempit, ada yang ibu bapa mereka terpaksa keluar bekerja dan mereka terbiar di rumah. Ada juga yang tidak mempunyai peranti dan sebagainya.

Pada waktu ini juga golongan rentan dan terpinggir ini akan ketinggalan dari segi pelajaran, ketinggalan daripada mendapat makanan bernutrisi dan ketinggalan dari segi perkembangan mental, kerohanian dan intelektual.

Pada masa yang sama terdapat golongan atasan dan berkemampuan dalam masyarakat. Anak mereka mampu pergi tuisyen, mampu melakukan pembelajaran secara dalam talian atau mampu menguruskan kehidupan dan pembelajaran mereka pada musim pandemik dan pergerakan dikawal.

Kita lihat berlaku kesenjangan yang semakin luas dan melebar antara golongan kelas yang mampu dan kelas rentan yang tidak berkemampuan. Ini yang kita risau. Apakah nanti apabila tahun-tahun mendatang, kesenjangan ini semakin melebar, semakin dirapatkan ataupun menjadi semakin parah?

Ini kerana ramai dalam kalangan anak-anak rentan ini yang sudah menunjukkan sikap tidak mahu kembali ke sekolah. Mereka hilang minat untuk belajar dan tidak dinafikan, banyak kajian menunjukkan mereka putus asa dengan kehidupan dan mengalami tekanan mental.

Jika tiada solusi yang tuntas dan holistik daripada kerajaan, maka saya rasa pihak rakyat kena lakukan sesuatu iaitu inisiatif yang berkonsepkan daripada rakyat kepada rakyat.

Bagaimana masyarakat dapat membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut? Pertama sekali, saya menyeru seramai mungkin mereka yang peka dengan isu ini untuk menyertai gerakan pendidikan #UntukMalaysia yang telah saya lancarkan. Bagi gerakan #UntukMalaysia di setiap negeri, mereka mempunyai cawangan masing-masing yang dipanggil sebagai kampus. Contohnya, Kampus #UntukMalaysia Johor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan sebagainya.

Saya yakin di pihak masyarakat, mereka mempunyai solusi yang kreatif. Satu keistimewaan generasi muda hari ini ialah mereka begitu kreatif untuk memberikan solusi. Generasi lama pula tidak bolehlah bersikap terlalu bongkak dan enggan mendengar apa-apa inisiatif daripada golongan muda.

Kalau ditanyakan kepada saya, saya yakin saya tiada ‘peluru perak’ untuk menyelesaikan semua masalah. Tetapi saya yakin sekiranya kita mendapatkan seramai mungkin pihak pemegang taruh dan mereka yang peka dan cakna dalam isu ini, banyak solusi yang akan kita boleh lakukan. Solusi berada di tangan kita, dari masyarakat untuk masyarakat.

Ada pihak mencadangkan supaya murid tersisih ini menjalani semula proses persekolahan seperti pada awal tahun bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Apa pandangan YB?

Ini merupakan salah satu daripada cadangan yang ada, banyak lagi cadangan lain. Sebab itu saya utarakan pewujudan Majlis Tindakan Pendidikan Nasional. Orang yang paling tahu berkaitan isu ini sudah tentunya para guru. Jadi, NUTP merupakan elemen terpenting untuk kita libatkan dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan pendidikan.

Masyarakat yang berada di Gua Musang, Sandakan, Kota Samarahan, Kubang Menerong atau Layang-layang, mereka lebih tahu masalah mereka. Guru lebih tahu keadaan setempat, begitu juga dengan para aktivis pendidikan, mereka lebih memahami keadaan sekeliling. Bagi anak-anak orang asli dan masyarakat rentan, mereka juga lebih mengetahui keadaan semasa mereka.

Kita libatkan juga cerdik pandai daripada institusi pengajian tinggi, pihak komuniti, pihak swasta, media dan semua NGO yang mempunyai kecenderungan dan minat terhadap pendidikan. Itu yang kita katakan sebagai pendidikan untuk semua dan pendidikan tanggungjawab kita bersama.

Wujudkan Majlis Tindakan Pendidikan Nasional kerana saya yakin banyak lagi solusi yang kita boleh kemukakan untuk menyelesaikan isu-isu pendidikan.

Inisiatif #UntukMalaysia bukan gerakan politik. Ia melangkaui politik, ideologi, kepercayaan, etnik dan juga geografi. Kita ingin bersama-sama menggemblengkan tenaga dan menggerakkan masyarakat untuk bersama-sama memberikan penumpuan terhadap pendidikan anak-anak menerusi inisiatif tersebut.

Apakah harapan YB terhadap masa depan pendidikan negara?

Harapan saya supaya pendidikan negara ini tidak dipolitikkan. Marilah kita bersama membina pendidikan negara sehingga bertaraf dunia dan kita boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain. Harapan ini boleh dicapai jika kita mempunyai hati yang terbuka, berlapang dada dan meletakkan pendidikan melampaui jalur politik, sempadan kepercayaan, geografi dan apa juga yang memisahkan kita. Kita tinggalkan jubah perbezaan, kita letakkan bahu kita bersama-sama menggalas tanggungjawab pendidikan secara kolektif demi masa depan negara.

ANEKDOT

Keluarga segala-galanya

Saya amat mencemburui waktu lapang kerana kita sukar menemui kelapangan. Namun, waktu lapang saya dedikasikan kepada keluarga kerana keluarga adalah segala-galanya. Lebih penting daripada itu, siapa pun kita walau di mana pun kita, apa pun jawatan kita, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada sentiasa meningkatkan ilmu dan pengetahuan kita. Jadi saya suka menimba ilmu-ilmu baharu sama ada dengan membaca buku atau berinteraksi dengan orang yang lebih berilmu. Kadangkala ilmu ini tidak semestinya datang daripada cikgu, kadang-kadang orang yang lebih muda daripada kita, orang yang punyai kepakaran, jadi mereka boleh kongsikan dengan kita.

Gemarkan aktiviti sukan solo

Saya gemarkan sukan secara bersendirian. Contohnya, saya suka melakukan senaman di gimnasium bersendirian, saya suka joging bersendirian dan menaiki basikal bersendirian. Ini kerana sukan atau riadah ini menjadi terapi kepada saya untuk menghilangkan tekanan. Ia juga memberi waktu untuk melakukan refleksi terhadap diri saya sendiri. Saya luangkan masa sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari untuk lakukan aktiviti ini.

Minat filem beri inspirasi

Ada beberapa buah filem yang saya sentiasa ulang tonton. Pertama, filem sains fiksyen Interstellar mengenai pengembaraan merentasi cakerawala tetapi berpaksikan cinta. Apa yang menarik ialah tentang ikatan kekeluargaan dan cinta itu walaupun merentas cakerawala tetapi ia tetap tidak boleh diputuskan.

Keduanya, filem The Greatest Showman. Filem ini berorientasikan motivasi iaitu bagaimana pengasas sarkas mengalami jatuh bangun tetapi ia berterusan sampai hari ini.

Filem yang saya terkesan juga ialah cerita Anakku Sazali dan Antara Dua Darjat. Tan Sri P Ramlee cuba membawa masyarakat melihat kesenjangan ekonomi dan bagaimana kelas ekonomi itu membezakan sikap dan tingkah laku masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!