Padah langgar lampu isyarat merah
SEREMBAN - Sebanyak 25 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah dalam Ops Lampu Merah sekitar daerah ini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, operasi pematuhan lampu isyarat merah ini bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar mematuhi lampu isyarat demi keselamatan bersama, selain menggelakkan kemalangan berlaku.
Menurutnya, tindakan saman serta-merta akan diambil atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan.
"Kami memandang serius sikap dan trend pemanduan seperti ini yang boleh menyebabkan kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
"Operasi ini lebih tertumpu kepada pengguna jalan raya yang selama ini sering mengabaikan undang-undang lalu lintas dan tidak mematuhi lampu isyarat.
"Kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang degil dan ingkar dengan undang-undang jalan raya," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, BSPTD Seremban akan terus mempergiatkan perlaksanaan operasi seumpama itu dari masa ke masa bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk terus mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
"Kita sangat komited dalam penguatkuasaan ini bagi memastikan setiap peraturan undang-undang jalan raya wajib dipatuhi,"katanya.
Sementara itu, Mohd Rosli turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra dan bertemu pelanggan yang datang ke IPD Seremban untuk membayar saman sempena tawaran diskaun 50 peratus.
Katanya, orang ramai mula membanjiri kaunter saman yang dibuka di Cawangan Trafik IPD Seremban seawal jam 8 pagi hingga 4 petang.
"Kempen bayaran saman yang ditawarkan sehingga 50 peratus pengurangan ini bertujuan menggalakkan orang ramai membayar saman seterusnya memberikan insentif diskaun bayaran sebagai langkah bagi meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat,"katanya.
Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik Kontinjen Negeri Sembilan menawarkan pengurangan diskaun 50 peratus saman, bermula 15 sehingga 31 Disember ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!