Prasarana tawar pakej beli satu percuma satu My30 mulai esok

Prasarana
Prasarana
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) membuka tawaran istimewa pakej ‘My30 Plus 30 - Beli 1, Percuma 1’ bagi pembelian pas perjalanan tanpa had My30 bermula esok sehingga 31 Mac depan dalam usaha menggalakkan pelancongan domestik.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna perkhidmatan tren dan bas Rapid KL boleh menggunakan pakej percuma itu untuk pembaharuan pada bulan berikutnya dan tempoh penebusan adalah antara 15 Januari dan 31 Mac.

Pengguna boleh membuat pembelian My30 itu di semua kaunter khidmat pelanggan di stesen LRT, MRT, monorel dan bas transit pantas (BRT) di samping lapan hab bas terpilih iaitu di Pasar Seni, KLCC, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Sunway Pyramid, Pearl Point dan Puchong Utama.

“Urusan penebusan bagi kempen ini bagaimanapun hanya boleh dibuat di dua lokasi iaitu di Sayap Timur stesen KL Sentral dan di Hab Bas Pasar Seni,” kata kenyataan itu.

Bagi mempromosi kempen itu, Prasarana akan menggunakan paparan skrin dalam tren LRT, MRT, monorel dan juga bas, di samping platform pengiklanan lain di stesen dan media sosial kendalian Rapid KL.

Pakej khas itu merupakan antara inisiatif diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri pada 23 November lalu sebagai pelan pemulihan pelancongan domestik, diterajui oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Pas perjalanan tanpa had My30 membolehkan warga Malaysia menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas Rapid KL berulang kali tanpa had untuk 30 hari dengan hanya berbelanja RM30. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!