25 tan limau mandarin dari China dirampas
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 25 tan buah limau mandarin dari China yang tidak mempunyai permit sah.
Kesemua limau seberat 25,956 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM108,887 itu cuba diseludup masuk ke negara ini.
Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, rampasan dibuat sewaktu pemeriksaan dilakukan di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) kira kira jam 5.42 petang pada Jumaat lalu.
"Pemeriksaan mendapati kesemua kontena tersebut membawa 25,956kg limau yang dianggarkan bernilai RM108,887 didapati tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan Maqis.
"Buah-buahan itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import seperti ditetapkan dalam Sijil Perakuan 3P," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, semasa membuat pemeriksaan, pihaknya mendapati sebanyak 1,854 kotak limau mandarin itu tidak mematuhi syarat import sepertimana yang telah ditetapkan iaitu gagal mematuhi Pengredan, Pembungkusan, dan Perlabelan (3P) sebagaimana yang dinyatakan dalam Sijil 3P.
"Berikutan kesalahan itu, tindakan diambil mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, Zarina berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.
"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!