Polis Johor serbu 'port' lumba, aksi drag kereta

Antara kereta yang ditahan pada Operasi Samseng Jalanan kerana terlibat dalam lumba haram dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Mutiara Emas 5, Taman Mount Austin, Johor Bahru semalam.
Antara kereta yang ditahan pada Operasi Samseng Jalanan kerana terlibat dalam lumba haram dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Mutiara Emas 5, Taman Mount Austin, Johor Bahru semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keghairahan sekumpulan pemandu kereta mempamerkan aksi berbahaya termasuk melakukan 'drag' membawa padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Mutiara Emas 5, Taman Mount Austin di sini semalam.

Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah dibantu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan operasi tersebut pada jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, seorang pegawai kanan dan 15 anggota terlibat dalam operasi itu selepas intipan dan risikan dilakukan selama dua minggu.

"Kita menahan 10 lelaki tempatan kerana berlumba dan bersubahat melakukan aksi berbahaya termasuk aksi 'drag' sehingga mendatangkan bahaya serta kacau ganggu kepada pengguna jalan raya lain.

"Mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 32 tahun. Sebanyak 11 saman POL 257 dikeluarkan atas 11 kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi dan ubah suai ekzos," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati semuanya negatif dadah.

Katanya, mereka sedang direman selama tiga hari sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Menurutnya, kawasan tersebut merupakan lokasi panas untuk berlumba dan melakukan aksi berbahaya melibatkan pelbagai jenis kereta.

Artikel Berkaitan:

Sebelum tangkapan itu dibuat, beliau berkata, 10 individu ditahan atas kesalahan yang sama pada September lalu dan selepas itu lokasi tersebut tidak aktif untuk beberapa bulan.

Bagaimanapun katanya, kawasan tersebut kembali aktif dengan aktiviti yang sama pada awal bulan ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!