Banjir: Orang ramai diminta tangguh perjalanan ke kampung

Polis memantau jalan yang dinaiki air di sekitar Kemaman. -Foto ihsan polis
Polis memantau jalan yang dinaiki air di sekitar Kemaman. -Foto ihsan polis
A
A
A

KEMAMAN - Orang ramai terutamanya individu daripada zon merah yang ingin pulang ke kampung dinasihatkan menangguhkan perjalanan dahulu dan tunggu sehingga keadaan banjir reda.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam keadaan bencana dan wabak Covid-19, pulang ke kampung bukanlah suatu perkara yang digalakkan.

Menurutnya, mereka yang mempunyai ibu bapa dan keluarga khususnya yang berada di kawasan banjir, tidak perlu risau akan keselamatan dan kebajikan keluarga mereka kerana pihak berwajib akan sentiasa menjaga dan memantau perkembangan dari masa ke masa.

"Tunggu keadaan dah reda, baru jumpa keluarga. Itu nasihat saya yang utama kepada mereka yang ingin pulang ke kampung ketika ini.

"Bagi penduduk pula, jika dinasihatkan pihak berkuasa untuk berpindah, kita minta kerjasama agar segera berpindah.

"Kita mendapat info dari masa ke masa daripada pelbagai agensi lain seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran dan sebagainya, jadi kita tahu keadaan semasa sebab itu kita rayu agar mereka patuh kepada arahan.

"Selain itu, sentiasa dapatkan maklumat berkaitan banjir dan jalan yang ditutup daripada media massa dan pihak berkuasa supaya orang ramai sentiasa waspada dengan keadaan banjir ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Polis memantau keadaan jalan bagi memastikan ia selamat dilalui kenderaan. -Foto ihsan polis
Polis memantau keadaan jalan bagi memastikan ia selamat dilalui kenderaan. -Foto ihsan polis

Terengganu kini berada dalam fasa keempat banjir, dengan mangsa sudah melebihi 7,000 orang dan Kemaman yang paling teruk terjejas menyaksikan lebih 6,000 mangsa kini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, Hanyan berkata, pihaknya mempunyai 405 kekuatan anggota bagi penugasan sepanjang musim banjir kali ini dan turut dibantu agensi-agensi kerajaan yang lain.

"Kita telah pun mohon dan dapatkan bantuan daripada pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) Kuala Lumpur dan mereka telah pun sampai tengah hari semalam (Sabtu) dengan kekuatan hampir 30 orang dengan aset-aset seperti kenderaan jentera berat dan bot.

"Kita memerlukan khidmat mereka kerana jumlah mangsa semakin bertambah dan pihak berkuasa berusaha memastikan keselamatan semua yang terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!