Nyaris dihanyut air ketika hendak beli sarapan
KEMAMAN - Tiga beranak berdepan detik cemas setelah kenderaan dinaiki dibawa arus ketika melalui jalan yang dinaiki air di Bandar Cheneh Baru dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Cheneh Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza mangsa terbabas ke bahu jalan yang dinaiki air.
"Difahamkan pemandu berusia 34 tahun bersama isteri dan anaknya yang berusia enam tahun ketika itu baru pulang ke kampung untuk bercuti dan ingin membeli sarapan pagi.
"Kejadian dipercayai berlaku sewaktu kenderaan itu menuruni bukit yang melalui selekoh yang dilimpahi air menyebabkan kereta yang dipandu terbabas," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa sempat menghubungi ahli keluarganya yang lain termasuk talian kecemasan sebelum menyelamatkan diri dengan memecahkan cermin kereta untuk keluar.
Beliau berkata, pemandu yang berasal dari Perak itu difahamkan tidak biasa dengan laluan berkenaan.
"Papan tanda amaran menunjukkan air naik yang diletakkan di laluan tersebut juga dipercayai telah dialihkan pengguna lain sebelum mangsa melalui kawasan itu.
"Kenderaan yang telah tenggelam sepenuhnya itu telah ditunda ke lokasi lain oleh pasukan penyelamat dan ketiga-tiga mangsa selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!