MMA gesa kerajaan lakukan audit ujian saringan pekerja asing
KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan melakukan audit ujian saringan Covid-19 mandatori terhadap pekerja asing.
Presidennya, Profesor Datuk Dr M Subramaniam berkata, audit menerusi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) perlu bagi menjamin standard tertinggi rawatan dan kepatuhan penuh terhadap garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan pengendalian penyakit berjangkit supaya dapat dikekalkan sepanjang masa.
“Audit berkenaan perlu dilakukan di lokasi ujian saringan diambil yang kebanyakannya dibuat di kilang dan tapak pembinaan.
"Audit juga diperlukan untuk mencegah peningkatan cubaan orang tengah yang mahu mengkomersialkan saringan Covid-19 disebabkan permintaan tinggi.
"Kelihatannya tidak ada kawalan atau penguatkuasaan terhadap aktiviti orang tengah yang bertindak sebagai ejen untuk menyediakan saringan Covid-19 kepada majikan. Harus diingat mereka ini bukan penyedia perkhidmatan kesihatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Kata Dr Subramaniam, fasa pertama ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK Antigen terhadap pekerja asing dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.
“Majikan perlu sedar pengamal perubatan am (GP) akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ujian saringan berkenaan dan standard rawatan diberikan.
“Semua GP disenaraikan di panel Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah dilatih untuk melakukan ujian saringan RTK Antigen.
“MMA memberi amaran seseorang mungkin berisiko mengalami kecederaan serius, masalah kesihatan atau keputusan negatif salah jika ujian calitan dilakukan dengan tidak betul,” katanya.
Tambah beliau lagi, awal November lalu, KKM sudah menyatakan dengan jelas bahawa ujian Covid-19 oleh sektor swasta hanya dapat dilakukan di klinik perubatan swasta, pusat rawatan kesihatan atau hospital swasta.
“Ia juga mengatakan hanya klinik perubatan swasta yang boleh menawarkan ujian saringan di tempat tertentu seperti kilang, dewan orang ramai atau pejabat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Perkeso sudah memaklumkan kepada majikan untuk berhubung secara terus dengan GP yang tersenarai sebagai panel mereka untuk ujian tersebut.
Senarai lengkap klinik panel mereka boleh diperoleh menerusi laman web www.psp.perkeso.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!