Selangor terus catat kes baharu tertinggi

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan empat digit apabila 1,340 kes baharu direkodkan hari ini dan Selangor kekal melaporkan kes baharu tertinggi dengan 441 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 93,309 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 15,563 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Tiga kluster baharu dikesan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kes harian baharu sebanyak 284 kes dan diikuti Sabah dengan 196 kes. Johor pula mencatatkan 156 kes baharu hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 134 kes atau 10 peratus daripada kes baharu melibatkan kluster di penjara dan depot tahanan Imigresen iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan di Selangor dengan 58 kes, Kluster Tembok Gajah, Johor (56 kes), Kluster Tembok, Kedah (10 kes), Kluster Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang (lapan kes) dan Kluster Penjara Kepayan, Sabah (dua kes).

“Sebanyak 1,067 kes sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes discaj sebanyak 77,309 atau 82.9 peratus dari keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, pertambahan empat kes kematian dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia sebanyak 437 kes. Sebanyak 116 kes dirawat di ICU dengan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kematian ke-434 (kes 63,582) adalah lelaki tempatan berumur 63 tahun di Hospital Sungai Buloh, Selangor dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok dan obesiti, sementara kematian ke-435 (kes 70,071) juga lelaki tempatan berusia 67 tahun di Hospital Pulau Pinang dengan penyakit darah tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Di Sabah, kematian ke-436 (kes 72,925) melibatkan lelaki tempatan berumur 78 tahun di Hospital Tawau dengan penyakit darah tinggi dan jantung, sementara kematian ke-437 (kes 91,013) lelaki warga asing berusia 77 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!