Tingkatkan ekonomi Kedah: MB Kedah
ALOR SETAR - Kerajaan negeri sedang berusaha meningkatkan ekonomi negeri ini agar limpahannya kelak dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia dilakukan atas dasar prihatin terhadap taraf hidup rakyat di negeri ini.
Menurutnya, pelbagai cabaran perlu dihadapi apabila negara semakin berkembang, namun sikap toleransi, perpaduan dan muhibah yang tersemai kalangan pelbagai kaum menjadi asas dalam memastikan negara aman, makmur dan harmoni.
“Oleh itu, semua pihak tanpa mengira agama, latar belakang dan kaum perlu berganding bahu pertahankan keharmonian dan hubungan baik yang menyatukan kita.
"Tanpa pegangan ini, negara mungkin dilanda kacau bilau hingga ekonomi tidak stabil, malah menyebabkan kesengsaraan hidup,” katanya, ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan penyampaian sumbangan kepada masyarakat kurang berkemampuan, di Seri Mentaloon, hari ini.
Hadir sama, Exco kerajaan negeri yang juga Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew.
Mukhriz berkata, keharmonian dalam negara harus dipelihara sebaiknya kerana ia tonggak kepada memacu sektor ekonomi.
“Dengan adanya perpaduan, kita dapat membangunkan negeri dengan stabil. Sudah pasti kita mahu angkat ekonomi Kedah ke tahap lebih baik untuk diagih kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak akan menghampakan harapan rakyat dan PH sedang berusaha memperbaiki kelemahan yang wujud sebelum ini.
“Kami akan pastikan integriti, tadbir urus yang baik diberi keutamaan agar pertumbuhan ekonomi pesat. Walaupun Kedah agak terbelakang dalam banyak aspek, kita akan manfaatkan apa yang ada dalam negeri ini selain bantuan Pusat dalam membangunkan negeri,” katanya.
Mukhriz berkata, elakkan perselisihan faham kerana ia hanya akan menyukarkan usaha memakmurkan Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!