KPM pantau bangunan sekolah daif seluruh negara
CHANGLUN - Bangunan-bangunan sekolah di seluruh negara akan sentiasa dipantau dari masa ke masa dan diselenggarakan secepat mungkin jika keadaannya daif dan mendesak.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memantau secara dekat dan turun padang untuk melihat sendiri keperluan di sekolah terbabit.
Menurutnya, bangunan-bangunan yang daif termasuk di Sabah dan Sarawak sudah pun berada di dalam senarai KPM untuk diberikan perhatian.
"Kita memang pantau secara dekat hal tersebut kerana keadaan bangunan sekolah ini tidak statik. Mungkin pada tahun ini bangunan sesebuah sekolah itu dalam keadaan baik tetapi tahun depan telah menjadi rosak dan daif akibat banjir serta bencana alam lain.
"Keadaannya berbeza kerana ada sesetengah sekolah telah menerima bangunan baharu beberapa tahun lepas dan cuma tinggal beberapa bangunan daif sahaja lagi yang mungkin terpaksa digunakan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam di Napoh, dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan barangan kelengkapan sekolah di Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah Peringkat Parlimen Kubang Pasu.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Negeri, Halimaton Shaadiah Saad serta Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Mohd Radzi berkata, pihaknya telah memberikan arahan agar penyelenggaraan dapat disegerakan pada tahun 2021 bagi bangunan-bangunan yang memerlukan perhatian dan mendesak.
"Kita akan lihat perkara mana yang lebih mendesak dan perlu didahulukan dalam soal penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan baharu seperti dewan dan sebagainya di seluruh negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!