Korban kerjaya demi membantu wanita lain bangkit berdikari
MELEPASKAN kerjayanya sebagai seorang jurutera automotif demi keluarganya enam tahun lalu dan misinya untuk membantu wanita lain berdikari serta menjana pendapatan, merupakan keputusan tepat yang dibuat oleh Hani Ahmad, 43.
Ibu kepada tiga cahayamata berusia 9 hingga 14 tahun itu kini bukan hanya dapat menumpukan sepenuh masa kepada keluarganya malah mampu menjana pendapatan lebih lumayan dengan menjual produk kesihatan dan kecantikan secara dalam talian.
Hani berkata, walaupun dilihat mudah namun beliau akui cabaran amat besar pada dirinya ketika melakukan keputusan itu.
Bagaimanapun katanya, beliau berasakan tidak dapat mengembangkan potensi yang ada dalam dirinya sekiranya terus makan gaji dan hanya perlu mengikut telunjuk pihak atasan.
“Selama 15 tahun saya bekerja, gaji memang banyak tetapi masa bersama keluarga kurang. Selain itu saya juga rasa skop kerja saya sangat terhad sedangkan saya boleh buat lebih dari itu.
“Saya ingin menebus kembali masa bersama keluarga tetapi pada masa yang sama dapat membantu membantu dan membimbing wanita lain untuk menceburi bidang perniagaan.
“Semua itu perlukan pengorbanan dan tidak semestinya wanita yang berhenti bekerja demi menjaga anak di rumah tidak mampu berdikari. Syukur suami banyak beri kekuatan dan semangat kepada saya," katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.
Menurutnya, kini beliau menjadi stokis produk keluaran DMS360 dan giat mempromosikannya di alam maya serta kerap membuat penstriman langsung menerusi halaman Facebook di https://www.facebook.com/dhansfames.
Mengakui berdepan cabaran susulan pendapatan sedikit terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19), wanita cekal itu berkata, beliau yakin permintaan terhadap produk kecantikan dan kesihatan tidak akan putus serta memanfaatkan platform media sosial untuk mengiklan, mempromosi dan memasarkan produk-produk yang dijualnya.
Beliau berkata, golongan wanita khususnya suri rumah yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu mempunyai pemikiran yang jelas dan betul mengenai apa yang ingin dicapai oleh mereka.
"Jangan membataskan kebolehan diri. Wanita perlu yakin dan berani menjana pendapatan sendiri tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan keluarga dan bijak membahagikan masa," katanya.
Menurutnya, beliau tidak sesekali menyesal dengan keputusan dilakukannya terutama apabila dapat melihat anak membesar 24 jam sehari dan menyaksikan ramai wanita berjaya dalam bidang perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!