Jangan ada murid yang tercicir akibat Covid-19
MINGGU lalu bekas Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik membangkitkan isu berkaitan Lost Generation atau generasi tersisih dalam kalangan murid akibat daripada pandemik Covid-19 di Dewan Rakyat.
Isu itu kemudian diulas dengan lebih mendalam pada satu wawancara yang disiarkan pada Sinar Ahad.
Merak Jalanan setuju bahawa masalah ini sangat serius dan perlu ditangani dengan sebaiknya dan menyeluruh oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan.
Beberapa hari lalu Merak Jalanan bertemu dengan sahabat lama yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan di sebuah sekolah rendah di sebuah Felda di negeri Selangor.
Sambil berbual, Merak Jalanan bertanya, berapa ramai murid Tahun Satu di sekolahnya yang mengenal huruf dan angka sepanjang sesi persekolahan 2020.
Katanya, susah nak jawab sebab bukan mudah untuk murid-murid luar bandar seperti di kawasan luar bandar seperti di tanah rancangan Felda mengaplikasikan belajar norma baharu.
“Selain masalah internet, sekolah juga berdepan dengan ibu bapa yang tak punya kemampuan untuk menyediakan komputer atau telefon pintar untuk anak-anak belajar melalui Google Classroom, Google Meet, Youtube, Zoom Cloud Meeting dan sebagainya. Jadi tidak mustahil ada murid yang tercicir,” katanya.
Krisis global akibat penularan wabak Covid-19 bukan sahaja menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara konvensional tertangguh, bahkan menjadikan tugasan guru semakin mencabar apabila mereka perlu menyesuaikan diri dengan pendidikan norma baharu.
Merak Jalanan harap guru-guru tidak hilang semangat untuk menyampaikan ilmu dan memastikan murid-murid tidak hilang semangat untuk menimba ilmu. Paling penting, tidak ada murid yang tercicir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!