Penting bahaskan laporan Suhakam

Syahredzan Johan
Syahredzan Johan
A
A
A

TANGGAL 10 Disember setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Tahun ini, pada tarikh tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengumumkan bahawa Malaysia akan menyasarkan kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) bagi sesi 2022-2024.

Beliau membuat pengumuman tersebut dalam ucapan pembukaan pada forum maya bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Dunia 2020.

Hishammuddin dilaporkan berkata bahawa UNHRC mewakili ‘semangat multilateralisme yang terus diperjuangkan oleh Malaysia’.

“... Malaysia akan terus bekerja rapat dengan semua peserta dalam usaha membangunkan hak asasi manusia di negara ini dan di peringkat dunia,” katanya.

Pengumuman itu sewajarnya dialu-alukan. Ia menunjukkan komitmen negara untuk memelihara dan terus menghormati hak asasi manusia di negara.

Ramai yang melihat hak asasi manusia sebagai suatu yang tidak begitu penting. Ada juga yang melihat hak asasi manusia sebagai suatu ‘ciptaan’ Barat yang ‘tidak sesuai’ diterima bulat-bulat dalam negara ini.

Tetapi sebenarnya hak asasi manusia itu sudah pun menjadi sebahagian daripada asas negara kita.

Artikel Berkaitan:

Dalam Perlembagaan Persekutuan, kebebasan asasi termaktub dalam Bahagian II. Ia memperuntukkan hak asasi seperti hak untuk hidup, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, kebebasan bergerak dan kebebasan beragama. Hak ini dijamin untuk rakyat Malaysia dan tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya.

Di samping itu, melalui Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta Suhakam), undang-undang negara telah mengiktiraf hak asasi manusia sebagai apa yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Akta itu juga mewujudkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Suhakam adalah sebuah badan berkanun yang berfungsi untuk antara lain, memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berkenaan dengan hak asasi manusia.

Ia juga berfungsi untuk menasihati, membantu dan mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan dengan hak asasi manusia di Malaysia, termasuklah berkenaan penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.

Fungsi terpenting Suhakam adalah untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia. Dalam melaksanakan peranan itu, Suhakam telah membuat siasatan awam dalam beberapa peristiwa dan aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia, contohnya berkenaan dengan perhimpunan aman dan juga hak tanah orang asal dan orang asli.

Setiap tahun, Suhakam akan mengeluarkan laporan tahunan mengenai aktivitinya dan laporan ini akan dibentangkan di Parlimen.

Namun, walaupun laporan itu dibentangkan di Parlimen setiap tahun, hanya sekali ia dibahaskan iaitu pada tahun 2019. Tahun ini, sekali lagi laporan tahunan Suhakam tidak dibahaskan.

Jika kerajaan benar-benar serius tentang hak asasi manusia di Malaysia, ia tidak boleh memandang enteng tentang laporan Suhakam ini.

Sekurang-kurangnya, kerajaan harus memberi peluang supaya laporan itu dibahaskan di Parlimen supaya situasi tahunan hak asasi manusia di Malaysia dapat dibincangkan oleh dewan perundangan negara.

Akta Suhakam sudah berusia lebih dari 20 tahun. Setiap tahun, peruntukkan disalurkan kepada Suhakam untuk menjalankan fungsinya. Kita harus melihatnya sebagai suatu badan penting dalam negara dalam memartabatkan hak asasi manusia.

Apa guna kita menyasarkan kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB jika kita tidak meletakkan hak asasi manusia sebagai prioriti dalam negara?

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!